Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

Jack Miller akui tidak setuju dengan gubahan peraturan

Hasrat Aprilia untuk memperkenalkan perubahan peraturan bagi membolehkan pelumba yang cedera menjalani ujian persendirian sebelum kembali berlumba terus mendapat tentangan hebat dalam MotoGP.

Terbaharu, pelumba Pramac Yamaha, Jack Miller, menyatakan pendiriannya yang turut menolak cadangan tersebut.

Memetik laporan Motorsport, Miller menegaskan bahawa MotoGP sudah lama mengamalkan peraturan sedia ada, dan tiada keperluan untuk mengubahnya hanya kerana situasi yang dihadapi oleh Martin dan Aprilia.

“Ini adalah MotoGP, dan peraturan sudah lama seperti ini. Kita boleh lihat sejarah, seperti ketika Valentino Rossi patah kaki pada tahun 2010 dan hanya boleh melakukan ujian yang dibenarkan pada waktu itu. Begitu juga dengan Marc Marquez, yang terpaksa berehat hampir sepanjang musim 2020 selepas kecederaan di Jerez.

“Peraturan adalah peraturan, dan malang bagi Martin serta Aprilia, tetapi ini adalah cabaran yang mereka perlu hadapi musim ini,” tambahnya lagi.

Aprilia sebelum ini mencadangkan perubahan tersebut bagi membantu Jorge Martin, juara dunia MotoGP 2024 yang kini masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan serius sebelum musim bermula.

Namun, cadangan ini telah menerima reaksi negatif daripada beberapa pihak, termasuk pengurus Ducati, Davide Tardozzi, serta Marc Marquez. Kini, Miller turut menyuarakan bantahannya dalam satu temubual.

Aprilia, melalui CEO mereka Massimo Rivola, mencadangkan perubahan peraturan yang membolehkan pelumba yang mengalami kecederaan menjalani sesi ujian persendirian sebelum kembali ke litar perlumbaan.

Jorge Martin, yang beralih dari Pramac Ducati ke Aprilia musim ini, mengalami kecederaan serius akibat highside ketika ujian rasmi pertama. Keadaannya bertambah buruk apabila dia terlibat dalam satu lagi kemalangan ketika sesi latihan, yang akhirnya memerlukan pembedahan pada tangannya.

Akibat kecederaan tersebut, Martin terpaksa terlepas tiga pusingan pertama musim ini dan dijangka hanya akan kembali beraksi di GP Qatar (pusingan keempat) atau GP Sepanyol (pusingan kelima).

Kredit ; MotoGP

Namun, cabaran terbesar menanti Martin sebaik dia kembali ke litar, kerana masih belum sempat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan jentera Aprilia. Justeru, Rivola berharap perubahan peraturan ini dapat memberikan peluang kepada pelumba Sepanyol itu untuk menjalani sesi ujian tambahan sebelum kembali bersaing di grid utama.

“Saya kasihan kepada pelumba-pelumba sebelum ini yang tidak berpeluang menikmati keistimewaan ini, tetapi sepatutnya pasukan mereka dahulu yang memikirkan idea ini! ujar Rivola.

Sejarah MotoGP telah menyaksikan banyak insiden yang melibatkan kecederaan serius, termasuk Valentino Rossi yang patah kaki pada tahun 2010 dan Marc Marquez yang bergelut dengan kecederaan tangan sejak 2020. Namun, kedua-dua legenda ini tidak pernah diberikan kelonggaran dalam peraturan, dan itulah yang menjadi asas kepada bantahan terhadap cadangan Aprilia.

Dengan Martin masih dalam fasa pemulihan dan bakal terlepas perlumbaan di Circuit of The Americas (COTA) minggu depan, Aprilia pastinya berharap cadangan ini dapat diterima. Namun, dengan semakin ramai pihak dalam paddock MotoGP yang menolak idea ini, sukar untuk melihat perubahan peraturan ini dilaksanakan dalam masa terdekat.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related