Irfan Haykhal sasar kedudukan lebih baik

Juara perlumbaan 1 pusingan ke-3 kategori MSBK250 A Kejuaraan MAM Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2026 , Md Irfan Haykhal Amidi mengakui berasa kecewa selepas gagal mempertahankan kemenangan dalam Perlumbaan 2 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, pada Ahad.

Haykhal, yang muncul juara dalam Perlumbaan 1, hampir melengkapkan kemenangan berganda selepas mendahului hampir keseluruhan perlumbaan. Bagaimanapun, pelumba Indonesia, Irfan Ardiansyah dari NWN CZ1 SCK Racing Team berjaya mencuri peluang dengan melakukan serangan pada pusingan terakhir sebelum memintas di selekoh terakhir untuk meraih kemenangan dengan catatan masa 19’35.995 saat.

Haykhal menamatkan perlumbaan di tempat kedua, hanya 0.293 saat di belakang pemenang, manakala Ahmad Afif Amran melengkapkan kedudukan podium.

Mengulas mengenai perlumbaan itu, pelumba Motul Honda Racing Malaysia berusia 18 tahun itu berkata beliau sudah memberikan aksi terbaik, namun keadaan cuaca yang panas serta prestasi tayar menyukarkan usahanya untuk mengekalkan kedudukan di hadapan.

“Pada Perlumbaan 2 tadi, saya cuba sedaya upaya untuk membuka jurang dengan pelumba lain pada awal perlumbaan. Tetapi disebabkan cuaca yang sangat panas, prestasi tayar dengan kompaun yang digunakan tidak begitu baik. Saya cuba mengekalkan rentak dari awal hingga akhir.

“Pada pusingan terakhir, saya cuba kekalkan kedudukan pendahulu tetapi berlaku sedikit sentuhan dengan pelumba nombor 16 hingga saya sedikit terbabas ke atas rumput. Nasib baik saya masih dapat mengawal motosikal dan meneruskan perlumbaan.

“Sudah tentu saya kecewa, tetapi saya anggap ini sebagai satu pelajaran untuk saya terus memperbaiki kelemahan dan bangkit dengan lebih kuat pada perlumbaan akan datang,” katanya.

Walaupun gagal mempertahankan kemenangan, Haykhal memilih untuk melihat keputusan tersebut dari sudut positif dan menjadikannya sebagai motivasi untuk terus meningkatkan prestasi.

Beliau turut bertekad melakukan persiapan yang lebih rapi menjelang pusingan seterusnya dengan sasaran untuk kembali bersaing di kelompok hadapan dan memburu kemenangan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related