Pelumba negara, Helmi Azman, yang bersaing melalui tiket wildcard dalam kategori Moto2 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang minggu ini untuk GP Malaysia, mengakui terdapat jurang yang ketara dari segi prestasi berbanding pelumba-pelumba di peringkat dunia, meskipun berlumba di litar sendiri.
Helmi, yang beraksi bersama pasukan PETRONAS MIE Racing RW, menyatakan walaupun menyedari realiti ini, beliau tetap berpuas hati kerana prestasinya tahun ini lebih baik berbanding tahun lepas.
“Catatan masa saya banyak meningkat dari tahun lepas, dan saya berjaya mencapai sasaran untuk minggu ini. Saya bermula dengan baik dan cuba untuk bersaing dengan pelumba-pelumba lain, bertahan sekitar 12 pusingan, namun baki lima pusingan terakhir saya tidak mampu mengekalkan momentum kerana tayar sudah mula haus,” katanya.
Helmi turut menambah bahawa beliau mengalami cabaran apabila rentak perlumbaan semakin meningkat, namun tetap berusaha sedaya upaya untuk bersaing dengan pelumba dunia dalam kategori Moto2.
“Saya sedar ini bukan tahap saya. Saya datang dari ARRC dan Malaysian Cub Prix. Ini adalah Moto2, Kejohanan Dunia. Walaupun di trek sendiri di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, kita perlu mengakui tahap kita masih jauh berbanding mereka,” ujarnya.
Rakan sepasukan, Khairul Idham Pawi, tidak dapat berlumba pada hari ini selepas terlibat dalam kemalangan bersama Helmi dalam sesi kelayakan semalam dan mengalami kecederaan patah tangan dan kaki.
“Saya tidak sangka kecederaan dia agak serius. Saya doakan dia cepat sembuh,” katanya.
Helmi turut menyatakan kepuasan terhadap sesi kelayakan walaupun mengalami jatuh. “Saya tahu di mana kesilapan saya. Walaupun badan sakit selepas terjatuh laju, saya kekal positif kerana pasukan banyak memberi motivasi dan percaya saya boleh melakukannya,” tambahnya.
Apabila ditanya sama ada kemalangan semalam mempengaruhi persembahannya hari ini, Helmi menjawab, “Kemalangan semalam bukan alasan. Saya masih positif kerana tahu saya mampu untuk lakukan yang terbaik hari ini.”
Mengenai prestasi tahun ini berbanding tahun lalu dan peluang wildcard untuk tahun depan, Helmi berkata:
“Tahun lepas adalah kali pertama saya. Tahun ini saya cuba menetapkan motosikal pada posisi yang lebih selesa seperti ketika saya berlumba di kategori 600cc, yang membuat saya lebih yakin untuk brek dan memecut.”
“Saya bergantung kepada peluang, ramai pelumba yang hebat. Jika diberi peluang lagi, saya akan berusaha keras dan harap dapat sesi ujian sebelum GP Malaysia di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, kerana saya tidak berkesempatan menjalani ujian Moto2; hanya terus berlumba di minggu perlumbaan. Masa sangat singkat untuk memahami jentera dan mekanik,” jelasnya.
Helmi mengakhiri perlumbaan di kedudukan P23 dengan perbezaan masa +49.239 dari pemenang GP Malaysia, Celestino Vietti. Namun, terdapat peningkatan pada catatan masanya; meskipun mengakhiri perlumbaan di kedudukan yang sama pada 2023, perbezaan masa dengan pemenang perlumbaan ketika itu, Fermin Aldeguer, adalah +1:09.940.