Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aprilia Racing, Massimo Rivola, mendedahkan bahawa hampir semua pengeluar MotoGP menyokong cadangan perubahan peraturan bagi membolehkan pelumba yang cedera menjalani ujian peribadi sebelum kembali ke perlumbaan.
Di bawah sistem konsesi MotoGP ketika ini, Yamaha dan Honda mempunyai kebebasan untuk menjalankan ujian peribadi tanpa had. Namun, pelumba Ducati, Aprilia, dan KTM hanya dibenarkan menguji jentera mereka dalam sesi rasmi MotoGP sahaja.
Rivola mengesahkan bahawa Aprilia telah menghantar permohonan rasmi untuk perubahan peraturan ini, tetapi ia memerlukan persetujuan sebulat suara untuk dilaksanakan dalam musim ini. Cadangan itu dijangka dibincangkan pada Khamis sempena pusingan di Litar of The Americas (COTA).
Namun, Ducati menyatakan bahawa mereka hanya akan menyokong perubahan ini bermula musim 2026. Rivola tidak bersetuju dengan pendirian tersebut dan menegaskan bahawa perubahan ini adalah penting untuk keselamatan pelumba.
“Saya benar-benar tidak faham mengapa ada yang menolak cadangan ini. Jorge bukan ancaman kepada Ducati untuk kejuaraan kerana dia sudah terkeluar daripada persaingan.
“Sekiranya dia mencuba dalam FP1 dan mendapati dirinya tidak bersedia, kita akan kehilangan satu jentera sepanjang hujung minggu perlumbaan. Ini bukan sekadar mengenai Jorge, tetapi langkah baik untuk kejuaraan dan keselamatan pelumba secara keseluruhan,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Aprilia turut mengalami masalah kecederaan lain apabila pelumba ujian mereka, Lorenzo Savadori, yang menggantikan Martin, terpaksa menarik diri daripada GP Argentina akibat kecederaan bahu.
Sebelum ini, Aprilia telah mencadangkan supaya mana-mana pelumba yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan dibenarkan menjalani ujian peribadi selama sehari sebelum kembali berlumba. Idea ini timbul susulan kesukaran yang dihadapi oleh Jorge Martin, pelumba baharu Aprilia yang juga juara bertahan MotoGP.
Martin hanya sempat melengkapkan 13 pusingan dalam ujian pramusim sebelum mengalami kecederaan serius yang memaksanya terlepas sekurang-kurangnya tiga perlumbaan pertama musim ini. Pelumba Sepanyol itu menyasarkan untuk kembali beraksi di pusingan keempat di Qatar pada pertengahan April tetapi ingin menguji keadaan pergelangan tangannya dengan menunggang jentera RS-GP terlebih dahulu.
Bagaimanapun, dengan sekatan ujian MotoGP, satu-satunya pilihan yang ada buat Martin ketika ini adalah menunggang motosikal produksi Superbike, yang menurut Aprilia, tidak mampu meniru tuntutan sebenar jentera prototaip MotoGP.
Kini, dunia keputusan muktamad masih belum diketahui sama ada perubahan peraturan ini dapat dilaksanakan segera atau perlu menunggu sehingga tahun 2026.
Baca juga :