Perlumbaan pusingan akhir Kejohanan IDEMITSU FIM Asia Road Racing (ARRC) 2024 di Litar Antarabangsa Chang telah menyaksikan prestasi luar biasa oleh pelumba-pelumba Malaysia dalam kategori ASB1000, SSP600, dan SSP250 untuk Perlumbaan 2 meskipun keputusan yang diperolehi kurang memberangsangkan.
Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan TKKR BMW Racing Team menunjukkan aksi yang menakjubkan apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan masa 20’52:265 saat. Prestasi itu turut membantu Azlan untuk menduduki tempat kelima dalam carta kejuaraan dunia secara keseluruhan dengan 126 mata.
Hafizh Syahrin, pelumba JDT Racing Team, turut mempamerkan konsistensi sepanjang musim meskipun terlepas peluang untuk merangkul kejuaraan dunia selepas hanya sekadar menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 154 mata. Kategori ini menyaksikan dominasi Yuki Kunii (SDG Team HARC-PRO Honda Ph) yang dinobatkan sebagai juara 2024 dengan 183 mata.
Dalam kategori SSP600, Muhammad Helmi Azman dari IDEMITSU Boon Siew Honda Racing Team menampilkan perlumbaan yang kompetitif dengan catatan masa 20’00:763 saat untuk menduduki tempat keempat dalam Perlumbaan 2. Ini membolehkan Helmi mengakhiri musim di tempat keempat keseluruhan dengan 142 mata.
Pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon, menepati ramalan apabila menjadi juara keseluruhan dengan 205 mata, menutup musim dengan kemenangan berganda di trek tanah airnya.
Walaupun tiada pelumba Malaysia menduduki podium dalam perlumbaan kategori SSP250 Perlumbaan 2, kategori ini tetap mencuri tumpuan dengan persaingan sengit. Pelumba Indonesia, Herjun Atna Firdaus dari pasukan ASTRA HONDA RACING TEAM berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan dengan 165 mata, manakala pelumba lain seperti Muhammad Kiandra Ramadhipa mengalami nasib kurang baik apabila terpaksa menarik diri akibat masalah mekanikal.
Dengan keputusan perlumbaan 2 pada petang Ahad itu turut menandakan ARRC 2024 secara rasmi melabuhkan tirainya bagi musim ini.