Juara Dunia MotoGP dua kali, Francesco Bagnaia, baru-baru ini membuka cerita tentang detik-detik indah dalam hidupnya selepas musim 2024 yang penuh cabaran.
Selepas mengharungi jadual padat sebagai pelumba profesional, Bagnaia akhirnya berpeluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama isteri tercinta, Domizia Castagnini, menerusi bulan madu idaman mereka yang telah lama dirancang.
Bagnaia, yang mengikat tali perkahwinan pada penghujung musim 2023, menyifatkan percutian tersebut sebagai “kisah dongeng yang menjadi kenyataan.” Kedua-duanya meluangkan masa di destinasi-destinasi indah yang memberikan peluang kepada pasangan itu untuk berehat dan menjauhkan diri daripada tekanan dari dunia perlumbaan buat sementara waktu.
“Saya sangat bersyukur akhirnya dapat meluangkan masa berkualiti bersama isteri saya, jauh dari kehangatan trek MotoGP. Selepas musim-musim yang panjang dan mencabar, detik-detik ini sangat berharga untuk memulihkan tenaga dan fokus saya bagi menghadapi cabaran baharu.
Walaupun sedang menikmati bulan madunya, pelumba Itali itu tidak dapat mengelak daripada terus memikirkan kesilapan musim lalu. Bagnaia mengakui bahawa tanggungjawab sebagai seorang pelumba tetap menghantui dirinya, walaupun ketika sedang bercuti
“Saya tahu saya kena cuba melupakan kesilapan saya.
“Tapi apa yang bagusnya, saya dapat mengenal pasti kesilapan saya dan analisis perlumbaan-perlumbaan saya yang lalu. Meskipun saya sedang menikmati bulan madu saya, saya tidak boleh berhenti memikirkan sesetengah perkara yang terjadi sepanjang musim lalu,” katanya kepada wartawan Sky Sport .
Meskipun begitu, dengan Ducati yang terus memperkenalkan inovasi pada jentera mereka, Bagnaia berharap untuk kekal di puncak persaingan dan mempertahankan kejuaraannya pada musim ini.
Bagnaia merupakan Juara Dunia Moto2 pada tahun 2018. Beliau adalah pelumba pertama dan satu-satunya daripada Akademi Pelumba VR46 milik Valentino Rossi yang berjaya meraih gelaran juara dunia dalam kelas perdana.
Kejayaan beliau pada tahun 2022 juga menandakan gelaran Juara Dunia pertama untuk pelumba Ducati dalam tempoh 15 tahun dan merupakan gelaran pertama untuk pelumba Itali sejak Rossi pada tahun 2009.
Dengan 11 kemenangan dalam 20 Grand Prix pada tahun 2024, Bagnaia berjaya menempatkan dirinya dalam senarai pelumba dengan jumlah kemenangan terbanyak sepanjang musim tersebut.
Walaupun mengulangi pencapaian itu pada tahun 2025 bakal menjadi satu cabaran, terutamanya dengan juara enam kali Marquez yang menggunakan jentera yang sama, pelumba berusia 28 tahun itu percaya bahawa mengatasi rekod peribadinya bukanlah sesuatu yang mustahil.


