Juara Dunia MotoGP 2024, Jorge Martin atau lebih dikenali sebagai ‘Martinator’, menegaskan bahawa matlamatnya untuk musim ini berbeza berbanding musim lalu.
Dalam satu temu bual bersama MotoGP, pelumba Sepanyol berusia 27 tahun itu menjelaskan bahawa fokus utamanya bukan sekadar mengejar gelaran, tetapi lebih kepada mempamerkan aksi cemerlang di setiap perlumbaan.
“Musim ini, matlamat saya berbeza. Jika dibandingkan dengan tahun lalu, sasaran utama saya adalah meraih gelaran juara dunia. Namun, kali ini saya bukan sahaja mahu menang, tetapi juga memastikan setiap perlumbaan saya penuh dengan prestasi terbaik.
“Saya kini bersama Aprilia untuk jangka masa panjang, jadi adalah penting untuk saya mengekalkan prestasi yang konsisten dan berada pada tahap terbaik. Berbanding tahun lalu, saya telah banyak berubah. Saya kini seorang pelumba dengan mentaliti dan pendekatan yang berbeza.
“Saya sangat teruja untuk bekerjasama dengan Aprilia, dan kami telah melakukan persiapan rapi menjelang perlumbaan pembukaan tidak lama lagi,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kritikan dan tohmahan negatif yang dilemparkan kepadanya, Martin dengan tenang menyatakan bahawa beliau tidak memberi perhatian kepada komen-komen tersebut.

“Saya tidak peduli dengan apa yang ditulis oleh pihak media. Fokus utama saya adalah memperbaiki diri dan terus maju ke hadapan. Selepas meraih gelaran juara dunia tahun lalu, saya memilih untuk tidak membaca atau melihat media sosial, dan saya akan terus melakukan perkara yang sama musim ini. Saya mahu menikmati perlumbaan dengan nombor plat #1 yang saya menangi musim lalu.
Ditanya mengenai peluangnya untuk meraih kemenangan musim ini, Martin tidak menafikan keinginannya untuk terus berada di puncak.
“Sudah tentu saya mahu menang. Malah, saya lebih bersemangat berbanding musim lalu kerana saya mempunyai impian untuk menjadi antara pelumba terbaik dalam sejarah MotoGP. Saya mahu melihat kembali pencapaian saya dengan bangga apabila saya bersara nanti. Setiap kemenangan dan rekod yang saya cipta akan menjadi motivasi untuk saya terus memperbaiki diri dan mencapai lebih banyak kejayaan,” tambahnya.


