Enea Bastianini akui belum serasi bersama KTM RC16

Enea Bastianini mengakui tidak mempunyai masa yang cukup untuk mencari keserasian penuh bersama jentera KTM RC16-nya apabila tempoh ujian pramusim MotoGP 2025 telah berakhir semalam.

Pelumba Itali itu, yang baru beralih dari Ducati ke KTM musim ini, percaya masih banyak aspek yang perlu diperbaiki dan dia memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan gaya tunggangannya dengan jentera baharunya.

“Secara keseluruhan, saya sedikit lebih gembira berbanding semalam kerana pada sebelah petang saya berjaya memperbaiki catatan masa saya,” katanya selepas hari terakhir ujian di Buriram.

“Namun, dari segi rentak perlumbaan, saya masih belum berpuas hati kerana banyak melakukan kesilapan. Kadang-kadang saya tidak dapat membrek dengan baik, dan saya masih belum memahami keadaan sepenuhnya.

“Kami perlu melakukan sesuatu sebelum perlumbaan bagi mendapatkan pemahaman yang lebih baik. Dalam tempoh antara ujian dan perlumbaan ini, adalah penting untuk mengkaji data dan belajar, kerana jentera ini berbeza dan pendekatan saya masih belum tepat.

Kredit : KTM

Bastianini turut menjelaskan bahawa dia dan ketua krunya, Alberto Giribuola, telah melakukan pelbagai pendekatan dari permulaan musim termasuk pendekatan yang digunakan ketika beliau masih bersama pasukan Ducati. Namun, setelah beberapa sesi ujian, mereka mendapati tetapan Pedro Acosta lebih sesuai untuk KTM RC16.

“Masalahnya ialah kami menggunakan pendekatan yang sama seperti ketika saya di Ducati, tetapi ia tidak berkesan dengan jentera ini,” jelas pelumba Tech3 KTM itu.

“Saya cuba mengekalkan kelajuan di selekoh, tetapi Pedro Acosta menggunakan gaya tunggangan yang berbeza. Dia banyak membrek, menghentikan motosikal sepenuhnya, dan kemudian memecut semula. Kami cuba menerapkan sedikit tetapan daripada Pedro dan ternyata ia lebih berkesan. Saya menjadi lebih pantas, dan nampaknya pendekatan ini lebih sesuai dengan jentera KTM.

Bastianini juga mengakui bahawa menyesuaikan diri dengan gaya tunggangan baharu bukanlah sesuatu yang mudah selepas bertahun-tahun membiasakan diri dengan jentera yang berbeza. Beliau turut mengakui fokus utamanya untuk memaksimumkan prestasi dan untuk berada pada tahap 100 peratus.

Menjelang perlumbaan pembuka tirai musim ini, Bastianini sedar bahawa dia perlu mengubah pendekatannya jika mahu mencapai kejayaan bersama KTM.

Dengan masa yang kian mencemburui sebelum tirai musim 2025 dibuka, Bastianini perlu segera menyesuaikan diri dengan KTM RC16 bagi memastikan dia mampu bersaing dengan pelumba lain di grid MotoGP.

Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum MotoGP Thailand menjadi pentas pembuka musim, menjanjikan aksi penuh debaran dengan jadual yang ditetapkan bermula 28 Februari hingga 3 Mac ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related