Empat pelumba Ducati berjaya menembusi catatan masa 1’57 dan berada di 1’56. Pecco Bagnaia mendahului catatan masa apabila mencatat 1’56.682 di hari ketiga sesi ujian, di ikuti oleh Jorge Martin, Enea Bastianini dan Alex Marquez.
Dalam sesi sidang media semalam Pecco Bagnaia yakin bahawa jentera Ducati boleh menembus masa 1’56 dengan prestasi jentera 2024.
Kata Juara Dunia MotoGP musim lalu itu,
“Saya gembira, sangat teruja kerana berjaya catat masa terpantas yang pertama untuk musim ini. Tetapi ini hanyalah sesi ujian. Segalanya dalam keadaan baik tadi, cuaca, jadi memang masa yang sesuai untuk buat time attack”
“Tetapi saya adalah seorang yang tidak memikirkan sangat sewaktu ujian. Kita perlu melihat sesuatu yang konsisten untuk menilai”
“Saya berasa baik dengan jentera ini. Hanya satu perkara yang kurang baik dalam sesi ujian iaitu saya tidak dapat melakukan 100% ketika sesi ‘long run’ kerana ada masalah dengan jentera, dan jentera menjadi sedikit perlahan. Cuma saya teruskan juga.”
“Yang pasti kami tahu jentera ini mempunyai potensi yang baik. Kami berjaya memperbaiki banyak perkara dalam tempoh hanya 3 hari. Boleh kata 80% sudah konsisten. Kami akan tiba di Qatar dalam keadaan yang baik”
Rakan sepasukan, Enea Bastianini gembira dengan sesi ujian secara keseluruhan,
“Jika anda katakan kepada saya sebelum ini kami boleh lakukan 1’56, saya akan katakan mustahil. Kami berjaya lakukannya, jadi ini adalah sesuatu yang positif.”
“Kami bersedia (untuk perlumbaan), cuma perlu mencuba sedikit lagi di Qatar. Bagaimana prestasi jentera ini di litar yang berbeza. Buat masa ini, aero dan pakej yang kami ada sekarang adalah bagus.”
Pesaing rapat Juara Dunia musim lalu, Jorge Martin turut memberi komen yang sama. Semalam pelumba Sepanyol tersebut membuat kenyataan bahawa beliau tidak menyukai fairing baru namun hari ini berjaya mencatat masa kedua terpantas, menggunakan fairing tersebut,
“Saya terkejut, jujurnya saya tidak menyangka. Semalam saya cuba, saya tidak menyukainya dan saya runsing apabila Pecco dan Enea suka tetapi saya tidak. Pagi ini kami cuba lagi, saya ubah sedikit tetapan, saya dapat perasaan yang baik, dan membuat catatan masa yang baik. Ada kesilapan sedikit di selekoh 3, tetapi yang lain semua okay. Terutama apabila berjaya mencatat di bawah 1’57.”
Tambahnya lagi,
“Fairing baru ini lebih downforce. Cuma perlu biasakan dan ubah sedikit gaya tunggangan. Fairing ini mempunyai potensi yang tinggi, sekarang kami cuma perlu mendapatkan potensi maksimumnya, dan bagi saya kami sudah pun ada pakej yang baik untuk 2024.”
Mengulas sama ada tahun ini akan menjadi persaingan antara Martin-Bagnaia sekali lagi,
“Sukar untuk kita hanya menilai pada sesi ujian. Bagi saya bukan sahaja dengan Pecco, malah mungkin akan lebih banyak saingan”
#TarmacSports