Damok masih mencari keserasian bersama jentera CBR600RR

Dua pelumba PETRONAS MIE Racing Honda, Kaito Toba dan pelumba negara, Syarifuddin Azman, telah memulakan saingan pertama mereka dalam Kejohanan Dunia Supersport (WorldSSP) 2025 di Litar Phillip Island, Australia hari ini.

Keadaan cuaca yang baik pada sesi latihan bebas pada aksi sebelah pagi memberi peluang kepada Syarifuddin atau lebih dikenali sebagai Damok untuk memanfaatkan sepenuhnya tempoh 30 minit yang diperuntukkan.

Dengan sasaran pelumba Malaysia itu dalam membina pengalaman daripada ujian yang dijalankan di litar yang sama awal minggu ini, Damok masih berusaha untuk memahami karakteristik jentera CBR600RR serta menyesuaikan gaya tunggangannya dengan litar dalam sesi latihan pertama WorldSSP sepanjang karier hidupnya.

Dalam sesi latihan ini, beliau melengkapkan 11 pusingan dengan catatan terbaik 1’34.601 saat. Sesi tersebut bagaimanapun terhenti lebih awal selepas seorang pelumba lain meninggalkan tumpahan minyak di trek, menyebabkan bendera merah dikibarkan.

Sesi Superpole pertama musim ini bermula pada pukul 2.55 petang waktu tempatan (CET+10). Dalam sesi kelayakan pertamanya di WorldSSP, Damok bekerja keras untuk bersaing dalam kelompok pelumba berprestasi tinggi. Beliau mencatat masa terbaik 1’35.182 saat pada minit-minit akhir sesi, sekaligus meletakkannya di petak ke-21 untuk perlumbaan pertamanya di WorldSSP.

“Saya gembira kerana dapat meningkatkan catatan masa saya kira-kira satu setengah saat antara sesi ujian dan latihan pagi ini. Tetapi secara jujurnya, saya tidak begitu berpuas hati dengan kedudukan saya di akhir sesi kelayakan.

Kredit : Mie Racing

Saya bergelut untuk mencatat masa yang lebih pantas dalam Superpole, tetapi saya masih dalam proses memahami jentera dan tayar Pirelli yang merupakan sesuatu yang baharu bagi saya. Segalanya sangat berbeza dan masih banyak yang perlu saya pelajari, tetapi saya menikmati kerja bersama pasukan dan kami tahu apa yang perlu diperbaiki untuk perlumbaan esok,” katanya.

Rakan sepasukannya, Toba, menunjukkan permulaan yang kukuh apabila berjaya berada dalam kelompok sepuluh terbaik sepanjang sesi tersebut.

Berbekalkan pengalaman di litar ini, pelumba Jepun itu kelihatan selesa dengan jentera CBR600RR miliknya, mencatat masa terbaik 1’32.743 saat. Catatan itu meletakkannya di kedudukan ketujuh, hanya empat persepuluh saat di belakang pendahulu.

Bagaimanapun mengalami insiden kemalangan di selekoh ke-11 pada peringkat awal sesi. Walaupun tidak mengalami kecederaan, jentera beliau mengalami kerosakan yang menghalangnya daripada meneruskan sesi kelayakan. Akibatnya, tanpa sebarang catatan masa, Toba terpaksa memulakan Perlumbaan 1 pada hari Sabtu dari petak ke-22.

Perlumbaan pertama musim ini dijangka menjadi cabaran besar buat kedua-dua pelumba PETRONAS MIE Racing Honda, dengan Damok berusaha mendapatkan lebih keserasian bersama jenteranya, sementara Toba perlu bangkit selepas mengalami insiden di sesi kelayakan pada aksi hujung minggu ini.

Kredit : Mie Racing

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related