Menjelang musim 2025 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, ramai telah meletakkan harapan ke atas pelumba baru Redbull KTM Tech3, Maverick Vinales dalam mencipta kejutan bagi musim ini.
Dengan pencapaian yang telah diraih sepanjang kariernya dengan 3 kali mencipta sejarah meskipun berada di bawah naungan pasukan berbeza, Vinales dianggap sebagai pelumba yang bakal membawa KTM ke prestasi terbaiknya sejurus musim baru bermula.
Pada tahun 2024, Viñales merupakan pelumba pertama dalam era MotoGP terkini yang mencipta rekod baharu apabila mencatatkan kemenangan dengan tiga pengeluar yang berbeza sekaligus meletakkan namanya dalam buku sejarah perlumbaan MotoGP.
“Sejurus selepas sesi ujian dengan jentera baharu saya, saya sudah mula rasa selesa dengannya, saya merasakan saya berada dalam keadaan yang baik bersama jentera saya. Ketika ini saya sedang mempelajari bagaimana hendak menambah baik dan mengenal pasti kekurangan saya.
“Saya juga sedang mengenal pasti perbezaan antara jentera baharu dan jentera saya yang sebelum ini, saya berasa positif dan yakin untuk mempamerkan aksi terbaik. Saya juga yakin, pasukan saya mampu menunjukkan kemampuan mereka musim ini.
“Saya mempunyai naluri dan perasaan yang baik sahaja. Saya meletakkan kepercayaan penuh ke atas pasukan saya untuk menjadi pasukan yang kuat musim ini,” katanya dalam satu temubual bersama MotoGP selepas sesi ujian jentera.
Pelumba Sepanyol itu turut menyatakan beliau sudah bersedia untuk mencipta lagi satu rekod bersama Red Bull KTM Tech3 untuk meletakkan pasukan itu sebagai pasukan keempat dalam senarai kemenangannya.
Pada tahun lalu, Vinales memperoleh kemenangan ketiga MotoGP bersama pasukan Aprilia di Litar Amerika, perlumbaan yang menunjukkan kehebatannya selaku ‘Top Gun’ apabila menewaskan Jack Miller (Prima Pramac Yamaha) dan Alex Rins (Monster Energy Yamaha MotoGP).
Perjalanan Vinales dalam menjadi pelumba pertama yang meraih kejayaan itu bermula pada tahun 2016 apabila dia meraih kemenangan pertamanya bersama pasukan Suzuki di Silverstone. Selepas menyertai Yamaha pada 2017, dia membuktikan kehebatannya dengan aksi yang begitu memukau untuk memperoleh pelbagai kemenangan bersama pasukan Jepun itu.
Walaupun terpaksa bergelut sepanjang berada di bawah Yamaha, perpindahannya ke Aprilia membolehkannya untuk menggapai cita-citanya apabila segala yang ditunggu-tunggu dibalas dengan kemenangan yang diidamkan bersama pengeluar Itali itu pada GP Amerika 2024.
Pada tahun ini, Vinales bakal menggalas tanggungjawab besar selepas menyertai Red Bull KTM Tech3 menaiki jentera RC16 dan bakal digandingkan bersama Enea Bastianini, Brad Binder dan Pedro Acosta selaku rakan pasukannya dalam mengembalikan semula KTM di tempat asalnya sebagai salah satu pengeluar terkuat dalam perlumbaan.