Cuti musim panas merupakan detik yang ditunggu-tunggu para pelumba F1 kerana bukan sahaja mereka dapat merehatkan minda daripada memikirkan tentang F1, malah mereka dapat meluangkan masa bercuti bersama keluarga.
Lain pula bagi sesetengah pelumba, cuti musim panas merupakan peluang mereka untuk menceburi aktiviti sukan yang berbeza. Itulah kisah Valtteri Bottas, pelumba yang berasal dari Finland itu apabila dia mencuri perhatian dunia F1 dengan satu lagi kejayaan dalam dunia berbasikal, selepas berjaya mendapat kelayakan ke UCI Gravel World Championships!
Bottas Mendapat Tempat Kelima
Bagi peminat yang sedia tahu tentang perkembangan Bottas, pelumba Cadillac ini memang sudah tidak asing lagi dalam dunia berbasikal. Apabila tiba masa lapang, Bottas akan mencari peluang untuk berbasikal bersama rakan-rakannya dan berkongsi aktiviti yang dilakukannya bersama para peminat.
Acara berbasikal menjadi sebahagian daripada rutin kecergasannya dan memberikan cabaran yang berbeza daripada F1.
Kali ini, Bottas cuba mencabar dirinya dengan memasuki acara berbasikal off-road sepanjang 131km bersama teman wanitanya, Tiffany Cromwell. Menariknya, dia mendapat tempat kelima bagi kategori Lelaki 35-39 sekali gus melayakkan diri ke Gravel World Championship.
Cuti Rehat Idaman Bottas
Mungkin bagi sesetengah pelumba, perkara ini hanyalah untuk suka-suka, tetapi bagi Bottas yang sedang cuba menyesuaikan diri dengan pasukan baharu setelah setahun keluar dari F1, perkara ini dapat menimbulkan keterujaan untuknya terus berlumba di litar. Tidak kira sukan apa, naluri pelumba tidaklah asing buat seseorang individu yang bernama Valtteri Bottas. Kejayaannya di acara berbasikal ini sedikit sebanyak meyakinkannya bahawa tenaganya masih kuat ketika berlumba.
Cadillac yang dipandu oleh Valtteri Bottas dan Sergio Perez kini berada di kedudukan terakhir bagi kategori pengeluar. Meskipun menghadapi banyak rintangan, Bottas percaya yang kekurangan yang dihadapi pasukannya sekarang dapat menjadi dorongan buat mereka untuk sentiasa meningkatkan prestasi pasukan bagi separuh musim kedua.


