Edisi kesepuluh Asia Talent Cup (ATC) 2024 yang berlangsung dari 8 Mac hingga 3 November tahun lalu telah menjadi pentas bagi menonjolkan prestasi cemerlang para pelumba muda dari Asia dan Oceania.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Dorna dengan tajaan Idemitsu musim 2024 ini merangkumi enam pusingan perlumbaan di litar-litar terkemuka Asia, dengan kebanyakan pusingan menjadi acara bantuan untuk perlumbaan Kejuaraan Dunia MotoGP.
Dengan perlumbaan pembukaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar, dan pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia semua pelumba telah bertanding menggunakan jentera Honda NSF250R 250cc untuk memberikan keadilan dan memfokuskan kepada kemahiran serta kemampuan pelumba di atas litar.
Pelumba Jepun, Zen Mitani, menjadi pelumba utama yang mencuri tumpuan musim ini dengan persembahan luar biasanya. Beliau memenangi tujuh perlumbaan dan menaiki podium dalam sepuluh daripada dua belas perlumbaan keseluruhan. Prestasi konsistennya turut membolehkan Mitani memastikan gelaran juara ATC 2024 lebih awal iaitu pada pusingan kelima di Buriram, Thailand.
Salah satu momen penting ialah di Buriram, apabila Mitani menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam keadaan litar yang basah sudah memadai untuk beliau disahkan juara keseluruhan.
Walaubagaimanapun, kejayaan itu bukan perkara yang mudah untuk Mitani apabila beliau dicabar dan diberikan saingan sengit daripada rakan senegaranya, Ryōta Ogiwara dan Riichi Takahira, yang masing-masing menamatkan musim di tempat kedua dan ketiga keseluruhan.
Pelumba Indonesia, Kiandra Ramadhipa, juga mencuri perhatian dengan dua kemenangan sepanjang musim, menjadikannya satu-satunya pelumba bukan Jepun yang memenangi perlumbaan musim ini.
Perlumbaan di Buriram turut menampilkan aksi menarik, apabila Ogiwara menewaskan Archie Schmidt dari Australia untuk meraih kemenangan dalam perlumbaan yang mendebarkan.
Selain pelumba Jepun mendominasi ATC musim lalu, antara yang menarik perhatian termasuk pelumba muda negara, Asyraff Zaquan dan Kiattisak Singhapong dari Thailand turut mencuri tumpuan dengan aksi yang memukau. Persembahan mereka memperlihatkan sebagai satu potensi besar sebagai bintang masa depan, menjadikan mereka antara pelumba muda berbakat yang wajar diberikan perhatian.
ATC dijangka kembali untuk musim 2025 dengan 20 pelumba dari 10 negara bakal bersaing, dengan tujuh pelumba kembali bertanding bersama 13 bakat baharu yang dipilih semasa Acara Pemilihan. Antara pelumba yang kembali adalah Ryota Ogiwara dan Seiryu Ikegami, yang masing-masing menamatkan musim ini di tempat kedua dan kelima.
Mereka dijangka menjadi penanda aras bagi para pendatang baharu yang bakal memulakan perjalanan di Road to MotoGP dengan barisan 20 pelumba dari negara Jepun, Indonesia, Thailand, Malaysia, Korea, China, India, Australia, Vietnam, dan Filipina.
Dalam pada itu, musim ini sekali lagi akan menampilkan enam pusingan dengan 12 perlumbaan, yang dijadualkan bermula pada 21 dan 22 Februari di Litar Antarabangsa Chang, Thailand dengan ujian pramusim.