Assen jadi pentas sengit pusingan kedua WorldWCR 2026

Kejuaraan Dunia FIM Women’s Circuit Racing (WorldWCR) bersedia menghangatkan saingan di pusingan kedua musim 2026 di TT Circuit Assen, litar ikonik yang dikenali sebagai ‘Cathedral of Speed’.

Selepas aksi mendebarkan di Portimao, saingan di Belanda dijangka tidak kurang hebatnya dengan perebutan sengit dijangka berlaku di kelompok hadapan, khususnya antara pelumba yang kini berkongsi kedudukan teratas kejuaraan.

Pendahulu semasa, Paola Ramos dari Klint Racing Team terikat 45 mata bersama pencabar terdekat, Maria Herrera (Terra & Vita GRT Yamaha). Ramos hanya mendahului menerusi kelebihan kemenangan lebih terkini, namun cabaran di Assen bakal menjadi ujian besar buatnya yang masih belum mempunyai pengalaman berlumba di litar tersebut.

Di tempat ketiga, Beatriz Neila turut berada dalam kelompok pencabar selepas dua kali menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Portimao. Pelumba Sepanyol itu memiliki rekod baik di Assen musim lalu dan dilihat berpotensi mencabar kemenangan pertamanya musim ini.

Sementara itu, Chloe Jones berharap dapat bangkit selepas aksi kurang menjadi di Portimao, dengan Assen dilihat sebagai peluang terbaik untuk kembali ke kelompok hadapan.

Beberapa pelumba lain turut dilihat mampu mencabar podium termasuk Roberta Ponziani yang kini berada di tangga keempat keseluruhan, serta Pakita Ruiz yang mengekori rapat.

Selain itu, Sara Sanchez juga dijangka menjadi pencabar utama selepas pernah meraih dua podium di Assen musim lalu.

Tidak dilupakan juga, pendatang baharu Yvonne Cerpa mempamerkan aksi memberangsangkan di Portimao dan kini berkongsi mata dengan Natalia Rivera serta Sanchez. Ketiga-tiga mereka dijangka bersaing rapat untuk memperbaiki kedudukan di Assen.

Talya Relph pula menyasarkan untuk mengulangi prestasi cemerlangnya musim lalu di litar sama, manakala Lucie Boudesseul melengkapkan kelompok 10 terbaik setakat ini.

wildcard

Pusingan di Assen turut menyaksikan kembalinya pelumba Thailand, Muklada Sarapuech yang sebelum ini berjaya mengutip mata pada penampilan sulungnya di Portimao.

Dalam masa sama, pelumba tuan rumah Birgit Scheffer bakal membuat penampilan pertama dalam WorldWCR, sekali gus menambah lagi keterujaan perlumbaan di laman sendiri.

Dengan persaingan semakin sengit dan jurang mata yang rapat, pusingan di Assen dijangka menjadi satu lagi aksi penuh dramatik dalam musim 2026 WorldWCR.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related