Aron Canet mempamerkan aksi luar biasa untuk merangkul kemenangan dalam perlumbaan Moto2 Grand Prix Qatar, pusingan keempat musim ini yang berlangsung di Litar Lusail.
Pelumba Fantic Racing itu bermula dari petak ketiga di barisan hadapan, namun memulakan perlumbaan dengan kurang cemerlang apabila jentera yang terangkat (wheelie) menyebabkan beliau tersungkur ke kedudukan ke-15.
Namun, Canet tidak berputus asa. beliau memulakan kebangkitannya langkah demi langkah, melangkah ke posisi ke-11 selepas satu pusingan dan meneruskan momentum menakjubkan untuk kembali ke kelompok hadapan.
Dengan 13 pusingan berbaki, Canet sudah berada di kedudukan kelima dan hanya beberapa kedudukan sahaja yang membezakan beliau bersama beberapa pelumba lain dia atas litar seperti Deniz Oncu, Daniel Holgado, Albert Arenas dan Manuel Gonzalez. Tetapi halangan itu tidak bertahan lama.
Sepuluh pusingan terakhir menyaksikan Canet memotong Gonzalez dan Holgado dengan penuh yakin, sementara Arenas semakin merosot. Beliau terus mengekori rapat Oncu, menanti peluang terbaik, dan apabila pelumba Turki itu membuka ruang kecil, Canet pantas menyambar peluang dan memintas untuk mendahului perlumbaan dalam empat pusingan terakhir. Pelumba Sepanyol itu menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 1.103 saat di hadapan.
Oncu pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua yang juga merupakan podium ketiganya dalam kelas pertengahan Moto2 dan pencapaian terbaiknya setakat ini tetapi jelas kecewa kerana gagal mempertahankan kedudukan apabila dipintas Canet. Namun, beliau berjaya mengekang cabaran sengit daripada Manuel Gonzalez yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Gonzalez, yang bermula dari petak utama, menunjukkan peningkatan selepas kekecewaan di COTA akibat pertaruhan tayar yang tidak menjadi. Walaupun tidak dapat menyaingi kekentalan Canet dan Oncu, podium kali ini merupakan satu isyarat kebangkitan semula.
Dalam masa yang sama, pelumba rookie Daniel Holgado turut mencuri tumpuan apabila layak ke petak kelima dan bertahan di kelompok hadapan sepanjang perlumbaan. Pelumba CFMoto Inde Aspar itu menamatkan perlumbaan di tempat keempat secara bersendirian selepas mula kehilangan rentak menjelang akhir perlumbaan.
Sementara itu, Jake Dixon yang memulakan perlumbaan dari petak kedua mengalami kemalangan di selekoh 13 ketika tujuh pusingan berbaki. Dixon, yang tiba di Qatar sebagai pendahulu kejuaraan selepas kemenangan di COTA, terpaksa meninggalkan litar tanpa sebarang mata.
Kemenangan ini membuktikan kecekalan Canet dalam mengatasi tekanan dan cabaran besar, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam perebutan kejuaraan Moto2 musim ini.
Baca juga: