Pengumuman yang dibuat sehari sebelum perlumbaan pusingan ke-3 Red Bull Grand Prix of The Americas berkenaan pengesahan dua pelumba ujian mereka iaitu Pol Espargaro dan Dani Pedrosa dalam slot wildcard pusingan ke-4 dan ke-7 musim 2024.
Meletakkan pelumba ujian dalam slot wildcard bagi KTM Factory bukan satu rahsia besar bagaimana pasukan ini bekerja dengan bersungguh sungguh untuk meletakkan pasukan dan jenama mereka paling teratas antara pengeluar dunia yang lain.
Apa signifikan KTM mengumumkan pelumba ujian mereka di Jerez dan Mugello? Jadual MotoGP telah pun ditetapkan dan ini termasuklah ‘Official Test’ dalam musim perlumbaan. Sejurus selepas perlumbaan di Jerez, Ujian Rasmi MotoGP pada 29 April dan KTM berkelebihan mencari data yang lebih banyak melalui Dani dan sebulan kemudian di Mugello melalui Pol Espargaro.
Jika anda seorang yang sangat teliti, KTM lebih agresif menggunakan pelumba ujian mereka bukan sahaja untuk menguji jentera tetapi mencari data yang sebenar dalam situasi yang sebenar iaitu dengan menyertai perlumbaan. Pada 2021 Dani masuk sebagai pelumba wildcard pusingan ke-10 di Stryrian GP dan menamatkan perlumbaan di tempat ke-10. Pada 2023 KTM terus meletakkan Dani untuk dua perlumbaan pusingan ke-4 di Jerez dan pusingan ke-12 di San Marino GP. Hasilnya pada 2023 Dani mengumpul 23 mata berharga.
Apa yang dibuat oleh KTM Factory hampir sama dibuat oleh Ducati Factory di era moden melalui Michelel Pirro. Apakah KTM boleh dikatakan terdesak untuk mengumpul mata pengeluar atau ‘constructor championship’ dengan menyenaraikan ‘pelumba tambahan’ dalam dua perlumbaan MotoGP musim ini?
“Maklum balas dan ujian menyeluruh yang diberikan Dani bersama pasukan ujian telah memainkan peranan penting dalam membentuk RC16 kami seperti sekarang: sebuah motosikal yang terkenal dengan kepantasan di trek dan kehebatannya dalam pertempuran. Selepas lima tahun bersama, Dani memiliki pengalaman yang mendalam. pemahaman tentang program, juruteknik dan falsafah kami, menjadikan sumbangan berterusan beliau sebagai penting seperti biasa.” – Pit Beirer, Pengarah Sukan Permotoran KTM:
Red Bull KTM Factory Racing lebih mengutamakan matlamat jangka masa panjang dengan membangunkan jentera serta pasukan, ini jelas seperti yang yang diumumkan pihak mereka pada September 2023 dengan melanjutkan kontrak Dani yang akan fokus kepada R&D dan program ujian bagi memenangkan jentera KTM RC16 Grand Prix.
Melalui tiket wildcard, KTM boleh mengumpul seberapa banyak data dan digunakan oleh pelumba utama mereka. Dani menyertai KTM pada 2019 dan berhasil beri impak yang positif disamping dua lagi pelumba ujian Red Bull KTM Factory Racing, Mika Kallio dan Jonas Folger.