Sambil perebutan kejuaraan MotoGP semakin hangat, ujian demi ujian terus dijalankan bagi mencari kelebihan maksimum dalam prestasi. Yamaha menjadi antara pasukan yang paling giat membuat ujian pada tahun ini, dengan pembangunan enjin V4 kini menjadi fokus utama mereka.
Pelumba ujian rasmi mereka, Augusto Fernandez, memainkan peranan penting dalam projek ini, manakala Andrea Dovizioso turut membantu memperkukuh arah pembangunan.
Berikut adalah garis masa perkembangan usaha Yamaha dalam peralihan daripada tradisi enjin inline-four kepada V4.
19 September 2024: Pengesahan rasmi pertama
Ketika Grand Prix Emilio Romagna 2024, sejurus selepas Ujian Rasmi Misano Bekas Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Lin Jarvis, mengesahkan bahawa enjin V4 sedang dibangunkan.
Beliau mengatakan meskipun merupakan pengeluar tunggal yang masih menggunakan enjin inline-four semenjak satu lagi pengeluar Jepun telah meninggalkan pentas MotoGP, beliau menegaskan mempunyai kepercayaan penuh kepada potensi enjin tersebut.
Ujian pertama : Fernandez Uji di Valencia
Pada bulan April 2025, Yamaha menggunakan kelebihan development concessions mereka untuk menguji enjin V4 di Litar Ricardo Tormo, Valencia. Ini merupakan penampilan pertama jentera V4 Yamaha secara terbuka, dikendalikan oleh Augusto Fernandez. Menjelang GP Sepanyol di Jerez, ramai pelumba Yamaha ditanya mengenai ujian ini, namun mereka kekal berdiam diri meskipun ditekan pihak media sekaligus menambah tanda tanya di sebalik projek tersebut.
Ujian berterusan: Pembangunan di Barcelona
Siri ujian diteruskan di Litar Catalunya, Barcelona dengan kehadiran dua pelumba ujian. Fernandez kini ditemani oleh Andrea Dovizioso, yang sebelum ini hanya hadir di Ujian Aragon tanpa menunggang. Kedua-duanya fokus kepada jentera V4, sementara pelumba pasukan Prima Pramac Yamaha Jack Miller dan Miguel Oliveira masih menunggang jentera inline-four, namun dengan kemas kini terkini.
Namun masih ramai yang tidak memahami apakah perbezaan V4 vs Inline?
Secara ringkas:
- Enjin V4 menyusun empat silinder dalam bentuk ‘V’, dua menghadap ke depan dan dua ke belakang, kebiasaannya pada sudut 90º.
- Enjin inline-4 menyusun keempat-empat silinder secara selari melintang di dalam rangka motosikal.
Dari sudut prestasi:
- Enjin V4 mempunyai aci engkol yang lebih pendek dan ringan, membolehkannya memberikan pecutan lebih pantas, terutama ketika keluar selekoh.
- Enjin inline-4 pula dengan aci engkol yang lebih panjang dan berat, memberi kelebihan dari segi kelajuan pertengahan selekoh serta kestabilan.
Namun dalam MotoGP, sejak musim 2023, semua perlumbaan telah dimenangi oleh jentera V4. Kali terakhir jentera inline-4 meraih kemenangan adalah di GP Valencia 2022 menerusi Alex Rins bersama Suzuki.
Dalam kelayakan, enjin inline-4 mampu memanfaatkan kelebihannya, tetapi dalam situasi perlumbaan sebenar terutama ketika bertarung di trek lurus ianya agak sukar menyaingi kelebihan pecutan dan kelajuan maksimum jentera V4.
Ketika ini, Yamaha berada di persimpangan penting dalam membuat keputusan yang terbaik buat penyertaan mereka di MotoGP. Dengan semua pesaing utama telah beralih ke enjin V4, Yamaha tidak boleh lagi ketinggalan terutamanya dengan pengenalan peraturan baharu yang akan berkuat kuasa pada tahun 2027.
Walaupun mereka tetap mempertahankan nilai enjin inline-4, realiti perlumbaan memaksa mereka untuk berubah. Usaha yang sedang dilakukan kini membuktikan komitmen serius Yamaha untuk kekal relevan dan kompetitif dalam era baharu MotoGP.


