Kelajuan Bukan Persoalan, Penalti Terus Menghukum Hakim Danish di Mandalika

Bukan hujung minggu yang mudah buat pelumba negara, Hakim Danish, di Grand Prix Indonesia yang berlangsung di Litar Antarabangsa Mandalika.

Sejak hari pertama lagi, hujung minggu Hakim Danish di Mandalika dipenuhi cabaran. Danish bukan sahaja bergelut mendapatkan tetapan jentera dan cengkaman yang sesuai, malah turut terjatuh ketika sesi Practice. Insiden itu menjejaskan usahanya untuk membina rentak, sebelum akhirnya terpaksa melalui laluan lebih sukar dengan mengharungi sesi Q1 pada Sabtu.

Walaupun berdepan tekanan, pelumba Hakim Danish Ramli mempamerkan ketenangan apabila berjaya mencatat masa kedua terpantas dalam Q1 untuk mengesahkan tempat ke sesi Q2.

Photo: ZK Racing

Namun, cabaran belum berakhir.

Dalam sesi Q2, Danish masih belum menemui tetapan dan keseimbangan jentera yang diinginkan. Akibatnya, beliau hanya mampu menamatkan sesi kelayakan di kedudukan ke-18.

Lebih malang, beliau kemudian dikenakan penalti untuk memulakan perlumbaan dari belakang grid selepas didapati menunggang perlahan selepas membuat catatatan masa terpantas ketika sesi Q1. Steward memutuskan tindakannya mengganggu pusingan pantas dua pelumba lain, iaitu Eddie O’Shea dan Leo Rammerstorfer.

Bermula dari belakang grid dalam perlumbaan Moto3 sememangnya bukan tugas mudah. Dalam kategori yang terkenal dengan saingan sengit dan rapat, setiap posisi yang hilang perlu ditebus satu persatu di atas litar.

Namun begitu, Danish membuktikan beliau memiliki kelajuan yang cukup baik untuk bersaing dengan kelompok hadapan.

Sebaik perlumbaan bermula, Danish mula memintas pelumba demi pelumba. Sedikit demi sedikit beliau memperbaiki kedudukannya sebelum berjaya memasuki kelompok pungutan mata.

Dengan kira-kira tujuh pusingan berbaki, Danish sudah berada di kedudukan ke-10 dan semakin menghampiri kelompok hadapan. Ketika bersaing dengan pelumba Australia, Joel Kelso, pada pusingan terakhir, percubaan memintasnya berakhir dengan kemalangan antara kedua-dua pelumba.

Danish terjatuh tetapi berjaya menyertai semula perlumbaan. Kelso pula gagal meneruskan saingan. Selepas kembali ke trek, Danish terus berjuang untuk memintas rakan sepasukannya, Ryusei Yamanaka, dan melintasi garisan penamat di kedudukan ke-12.

Bagaimanapun, insiden tersebut menyebabkan beliau dikenakan penalti tiga saat, yang menyaksikan kedudukannya diturunkan ke P14 dalam keputusan rasmi perlumbaan.

Selepas perlumbaan, Danish turut dilihat menuju ke garaj Kelso bagi memohon maaf atas insiden yang berlaku, satu tindakan yang menunjukkan kematangan pelumba muda negara itu dalam menerima tanggungjawab terhadap kesilapannya.

“Pada pusingan terakhir, saya melakukan sedikit kesilapan ketika cuba memotong Joel Kelso. Saya hilang kawalan di bahagian hadapan dan kemudian dikenakan penalti tiga saat susulan insiden tersebut. Saya akan terus fokus untuk Grand Prix Australia dan berusaha memperbaiki prestasi serta mengelakkan kesilapan yang sama berulang lagi.”

Danish turut menjelaskan bahawa faktor utama kebangkitannya pada perlumbaan kali ini adalah sikap tidak mudah berputus asa walaupun terpaksa memulakan perlumbaan dari belakang grid.

“Apa yang saya lakukan ialah terus menguatkan semangat dan tidak berputus asa. Saya cuba mencari ruang untuk memperbaiki gaya tunggangan saya, terutamanya ketika memasuki selekoh. Bermula dari belakang grid memang memberikan tekanan yang tinggi, tetapi dalam Moto3, jika ada ruang, kita perlu berani mengambil peluang untuk memotong.”

Apa yang berlaku di Mandalika sebenarnya merumuskan musim 2026 Danish dengan cukup tepat.

Tiada siapa boleh mempertikaikan kelajuannya. Jika seseorang pelumba mampu bangkit dari belakang grid sehingga berada dalam kelompok 10 terbaik, itu sudah membuktikan bahawa pace untuk bersaing di hadapan sememangnya ada. Malah, ini bukan kali pertama Danish menunjukkan kemampuan tersebut.

Di GP Czech di Brno, beliau pernah dikenakan penalti 12 posisi grid selepas didapati menunggang perlahan dalam sesi kelayakan. Bermula dari P14, Danish tetap mencipta sensasi apabila muncul juara dan menghadiahkan kemenangan Grand Prix sulung dalam kariernya.

Justeru, isu utama Danish ketika ini bukanlah kelajuan.

Sebaliknya, perkara yang perlu diberikan perhatian ialah pengulangan kesilapan yang sebenarnya boleh dielakkan.

Penalti di Mandalika bukan lagi insiden terpencil buat Hakim Danish. Sebelum ini, beliau turut dikenakan penalti 12 posisi grid di Brno atas kesalahan hampir sama ketika sesi kelayakan. Malah, penalti di Brno sendiri diklasifikasikan sebagai kesalahan berulang oleh panel steward, menunjukkan isu tersebut pernah berlaku sebelum ini.

Dalam Moto3 moden, aspek pengurusan sesi kelayakan sama penting dengan kelajuan di atas litar. Setiap penalti yang diterima bukan sahaja menjejaskan kedudukan permulaan, malah memaksa pelumba bekerja lebih keras pada hari perlumbaan dan mengambil lebih banyak risiko untuk kembali ke kelompok hadapan. Situasi itu jelas dapat dilihat di Mandalika apabila Danish terpaksa memulakan perlumbaan dari belakang grid selepas dihukum kerana menunggang perlahan di racing line sehingga mengganggu pusingan pantas pelumba lain.

Ironinya, semua ini berlaku ketika Danish sebenarnya mempunyai kelajuan yang cukup baik untuk bersaing di hadapan. Di Brno, beliau menukar penalti 12 posisi grid menjadi kemenangan Grand Prix yang bersejarah. Di Mandalika pula, beliau mempamerkan kebangkitan mengagumkan dari belakang grid sehingga berjaya memasuki kelompok 10 terbaik sebelum insiden pada pusingan terakhir.

Sebab itu, persoalan utama ketika ini bukan lagi sama ada Danish mempunyai pace untuk menang atau tidak. Beliau sudah membuktikannya. Cabaran sebenar adalah memastikan kelajuan itu tidak terus dibayangi oleh kesilapan yang boleh dielakkan. Jika aspek pengurusan sesi kelayakan dan perlumbaan dapat diperkemaskan, tidak mustahil Danish mampu muncul sebagai pencabar podium dan kemenangan yang lebih konsisten pada masa akan datang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related