Dalam sesi kelayakan Pusingan 5 FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) 2026, pihak penganjur memperkenalkan format one-off bagi mengatasi kekangan masa susulan perubahan jadual yang tidak dijangka akibat penganjuran Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang.
Menerusi sesi Qualifying 2 (Q2), pelumba Forty Forged Asia Racing Team (BMW), Keito Toba, mencuri tumpuan apabila mencatatkan masa terpantas 2:05.006 sebelum hujan turun ketika sesi berbaki lebih tiga minit.
Bagaimanapun, tiada pelumba berjaya mengatasi rekod litar yang dicatatkan Hafizh Syahrin daripada JDT Racing Team pada pusingan sebelumnya, iaitu 2:04.335.
Tarmac Sports dimaklumkan oleh pihak penganjur ARRC bahawa format ini bukanlah pengenalan kepada format baharu bagi kategori Asia Superbike 1000 (ASB1000). Sebaliknya, ia hanya digunakan untuk Pusingan 5 berikutan kelewatan penghantaran kargo yang sebelum ini dijadualkan tiba pada tarikh asal perlumbaan, iaitu 11 hingga 13 September.
Justeru, format kelayakan bagi pusingan terakhir di Buriram, Thailand pada Disember nanti akan kembali menggunakan format sedia ada.
Dua Sudut Utama: Strategi Pasukan dan Penggunaan Tayar
Format baharu ini menarik untuk dilihat daripada dua sudut utama, iaitu strategi pasukan dan pengurusan penggunaan tayar.
Bagi Pusingan 5, sesi kelayakan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Q1 selama 20 minit dan Q2 selama 20 minit. Sebelum ini, pelumba hanya diberikan satu sesi kelayakan selama 35 minit.
Dalam situasi ini, strategi pasukan dan pertimbangan pelumba menjadi lebih penting bagi memastikan mereka mampu mencatatkan masa terbaik serta berada dalam kedudukan yang baik untuk penentuan grid perlumbaan.
Perbezaan paling ketara ialah hanya 12 pelumba terbaik daripada Q1 akan mara ke Q2. Ini menjadikan kedudukan ke-11 dan ke-12 amat kritikal kerana kedua-dua pelumba berkenaan berada di zon berisiko untuk tidak layak ke Q2.
Pada masa yang sama, penggunaan tayar juga memainkan peranan penting. Sekiranya pasukan menggunakan tayar kelayakan terlalu awal dalam Q1, mereka berkemungkinan berdepan dengan penurunan tahap cengkaman apabila memasuki Q2.
Situasi ini penting kerana Q2 menjadi sesi penentu bagi 12 pelumba terbaik untuk merebut kedudukan grid yang lebih baik.
Namun begitu, sesi Q2 yang berlangsung tadi tidak memberikan gambaran sepenuhnya tentang keberkesanan format ini apabila keadaan litar kembali basah akibat hujan.
Berdasarkan pemerhatian Tarmac Sports, format ini mempunyai potensi untuk digunakan dalam ARRC, khususnya bagi tiga kategori utama iaitu Asia Production 250 (AP250), SuperSports 600 (SS600) dan Asia Superbike 1000 (ASB1000).
Format dua peringkat ini bukan sahaja boleh meningkatkan aspek strategi dalam kalangan pasukan dan pelumba, malah berpotensi menambah elemen persaingan dalam perebutan kedudukan grid serta memperkukuh pengurusan tayar dan taktikal pasukan sepanjang sesi kelayakan.


