Tribute Michael Schumacher: Barrichello dan Vettel Kembali Beraksi Bersama Ferrari F2002

Dua figura ikonik F1, Rubens Barrichello dan Sebastian Vettel, dikhabarkan akan kembali beraksi membawakan jentera legenda Ferrari F2002 semasa persembahan demo di GP Itali minggu ini.

Autodromo Nazionale di Monza bakal menyaksikan detik bersejarah apabila Scuderia Ferrari menganjurkan acara penghormatan khas bagi memperingati era kegemilangan pasukan. Pasukan tuan rumah itu juga telah merasmikan ‘tribute livery’ bagi perlumbaan minggu ini yang bertemakan konsep kereta F310 milik Michael Schumacher pada tahun 1996, serta mempamerkan logo Michael dan tujuh bintang yang melambangkan jumlah kejuaraan beliau.

Detik Istimewa Buat Barrichello dan Vettel

Pada sesi petang Sabtu selepas ujian kelayakan, Rubens Barrichello akan kembali menderum di litar Monza dengan jentera F2002. Pemandu dari Brazil ini mempunyai ikatan sejarah yang sangat kuat dengan jentera tersebut, di mana beliau pernah memandunya untuk meraih kemenangan manis di GP Itali 2002 menerusi keputusan penamat 1-2 bersama Michael Schumacher. 

Saat Barrichello mengemudikan semula enjin V10 di hadapan ribuan penyokong Tifosi bukan sahaja akan membangkitkan kenangan era 2000-an, malah mengiktiraf peranan penting beliau dalam pembangunan teknikal Ferrari. 

Pada hari Ahad, giliran juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, akan mengambil alih kokpit F2002 sebelum perlumbaan bermula. Bagi Vettel, yang membesar dengan mengidolakan Schumacher sebelum menyertai Ferrari dari 2015 hingga 2020, pemanduan ini sarat dengan nilai emosi.

Selaras dengan inisiatif kelestarian alam sekitar yang diperjuangkan Vettel, jentera F2002 ini dikuasakan oleh bahan api mampan (advanced sustainable fuel) yang dibangunkan khas oleh Shell. Ini membuktikan bahawa deruman enjin vintaj F1 masih boleh dinikmati dengan teknologi mesra alam.

Aktiviti Menarik dan Pameran Khas Maranello

Bukan itu sahaja, detik bersejarah ini juga melihatkan pelbagai aktiviti menarik yang berlaku di Monza. Lewis Hamilton dan Charles Leclerc dijadualkan menyertai pelbagai acara khas sepanjang minggu perlumbaan menjelang GP Itali untuk meraikan warisan pasukan bersama para peminat.

Ferrari mengesahkan bahawa Muzium Maranello bakal mempamerkan lima jentera kejuaraan Schumacher dari musim 2000 hingga 2004 di Victory Hall. Pameran eksklusif ini diadakan bermula 4 September hingga 30 September.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related