Siapakah Izan Guevara?

Impian Izan Guevara untuk beraksi di kelas premier akhirnya menjadi kenyataan apabila beliau bakal menyertai Prima Pramac Yamaha MotoGP pada tahun 2027.

Guevara atau lebih dikenali sebagai Juara Dunia Moto3 pada tahun 2022 telah disahkan bakal menjadi pelumba rookie ke-3 selepas Danial Holgado dan Davidi Alonso bagi saingan MotoGP pada musim hadapan. Dengan membawa pengalaman luas dalam Kejuaraan Dunia selepas memenangi gelaran dunia Moto3 pada 2022 dan kini bersaing dalam Moto2. Pelumba bernombor #28 itu juga akan bergandingan dengan Toprak Razgatlıoğlu dalam barisan baharu Prima Pramac Yamaha tidak lama lagi.

Pada yang belum mengenali Guevera, Guevera merupakan pelumba muda yang telah meminati sukan motosikal sejak beliau berusia seawal tiga tahun sebelum beliau mengembangkan minatnya dengan menyertai pelbagai kejuaraan di Sepanyol.

Langkah besar hadir pada 2019 apabila beliau menyertai European Cup selepas kempen cemerlang dalam PreMoto3. Selepas meraih mata pada pusingan pembukaan, Guevara kemudian memenangi enam perlumbaan berturut-turut dan menambah satu lagi podium di Jerez untuk muncul sebagai juara.

Bakatnya kemudian membawa Guevara ke Moto3 Junior World Championship serta Red Bull MotoGP Rookies Cup. Walaupun hanya menghabiskan satu musim dalam Rookies Cup dan menamatkan saingan di tempat kesembilan, beliau tampil jauh lebih menyerlah dalam kejuaraan Moto3 Junior.

Dengan lima kemenangan dan tiga lagi podium, Guevara menamatkan musim 2020 sebagai Juara Dunia Moto3 Junior, sekali gus membuka jalan untuknya melangkah ke Kejuaraan Dunia Moto3.

Moto3: Dari Rookie Kepada Juara Dunia

Berkat tidak ada putus asa dan kerja keras Guevara, hanya dengan menghabiskan dua musim dalam kategori lightweight beliau berjaya merangkul gelaran juara dunia.

Selepas menyertai Aspar Team, beliau menunjukkan potensi besar pada musim rookie dengan mengutip mata dalam 11 daripada 14 perlumbaan pertamanya. Detik penting hadir di Grand Prix Amerika (COTA) apabila Guevara meraih kemenangan sulungnya selepas menewaskan pelumba berpengalaman seperti Dennis Foggia dan John McPhee.

Musim keduanya pula menyaksikan peningkatan ketara. Guevara meraih podium pada pusingan kedua sebelum memenangi perlumbaan di Jerez. Beliau turut menambah enam kemenangan lagi sepanjang musim dan mengumpul 12 podium daripada 20 perlumbaan.

Konsistensi tersebut membawanya ke kejuaraan dunia apabila Guevara mengesahkan gelaran Juara Dunia Moto3 2022 di Phillip Island.

Moto2: Membina Semula Langkah Ke Kelas Premier

Guevara meneruskan kerjasamanya bersama Aspar untuk musim 2023 dan 2024, kali ini menaiki jentera Kalex di Moto2.

Musim rookie terbukti mencabar apabila beliau menamatkan kejuaraan di tempat ke-22. Namun, terdapat beberapa perkembangan positif, termasuk keputusan tempat keenam di Grand Prix Australia.

Pada musim keduanya, Guevara mula menunjukkan konsistensi lebih baik dan meraih podium Moto2 pertamanya di Malaysia.

Selepas meninggalkan Aspar pada penghujung 2024, Guevara menyertai BLU CRU Pramac Yamaha Moto2 Team, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya.

Kerjasama itu mula membuahkan hasil apabila beliau meraih tempat kedua di Mandalika sebelum mencatatkan kemenangan Moto2 pertamanya di Grand Prix Valencia pada penghujung musim.

Musim 2026 pula menyaksikan Guevara semakin menyerlah. Kemenangan di Le Mans serta empat lagi podium pada separuh pertama musim menyaksikannya berada di kedudukan kedua kejuaraan, sekali gus menarik perhatian Yamaha dan Pramac untuk membawanya ke MotoGP.

MotoGP

Kini, Guevara bersedia membuka bab baharu bersama Prima Pramac Yamaha MotoGP pada 2027, bergandingan dengan Toprak Razgatlıoğlu.

Penampilan pertamanya di atas jentera MotoGP dijadualkan berlangsung pada Ujian Valencia selepas musim 2026, yang akan menjadi peluang pertama buat pelumba Sepanyol itu merasai jentera kelas premier.

Momen itu hadir pada waktu yang cukup menarik kerana MotoGP bakal memasuki era teknikal baharu pada 2027, termasuk penggunaan enjin 850cc. Situasi tersebut dijangka memberikan cabaran kepada semua pelumba, namun pada masa sama membuka peluang kepada rookie seperti Guevara untuk menyesuaikan diri bersama generasi baharu jentera MotoGP.

Sudah memiliki satu gelaran dunia dalam koleksi, persoalannya kini mampukah Guevara menambah satu lagi kejuaraan dalam kariernya apabila tiba di MotoGP?

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related