Red Bull dan Racing Bulls melakukan rombakan mengejutkan menjelang Grand Prix Belanda apabila kecederaan Isack Hadjar mencetuskan pertukaran tiga pelumba untuk perlumbaan di Zandvoort.
Hadjar terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan pada pergelangan tangan ketika tempoh rehat musim panas. Pelumba Perancis itu sepatutnya meneruskan musim pertamanya bersama pasukan utama Red Bull selepas dinaikkan pangkat untuk 2026.
Tempat Hadjar akan diisi oleh Liam Lawson, yang kembali ke Red Bull selepas diturunkan ke Racing Bulls pada awal musim 2025. Perubahan itu turut memberi peluang kepada Yuki Tsunoda untuk kembali ke grid. Bekas pelumba Red Bull tersebut akan mengambil tempat Lawson di Racing Bulls dan bergandingan dengan pelumba baharu, Arvid Lindblad.
Bagi Lawson, ini juga merupakan peluang kedua yang tidak dijangka untuk membuktikan dirinya di Red Bull selepas dia dikritik teruk kerana prestasinya yang tidak memuaskan pada awal tahun 2025.
Menariknya, kebetulan yang terjadi ini bukan kali pertama dalam hidup Lawson. Pada tahun 2023, Lawson membuat penampilan sulungnya dalam Formula 1 di Litar Zandvoort atas sebab yang lebih kurang sama. Ya, dia menggantikan Daniel Ricciardo di AlphaTauri selepas pemandu Australia itu mengalami kecederaan pada pergelangan tangan semasa sesi latihan bebas.
Nampak kelakar tetapi kebetulan yang sama berlaku sebanyak dua kali adalah sangat aneh dalam hidup Lawson. Sekiranya ada pelumba yang mengalami kecederaan tangan di Zandvoort, kita pasti sudah tahu siapa yang akan menggantikannya.


