Formula 1 dan Itali mempunyai hubungan yang sukar ditandingi mana-mana negara lain. Dari gemuruh sorakan ribuan Tifosi di Monza sehingga jutaan peminat setia Ferrari dari seluruh dunia, semangat motorsport mengalir dalam darah rakyat Itali. Namun di sebalik semua kecintaan dan warisan yang begitu mendalam ini, tersembunyi satu ironi yang menyakitkan hati peminat tegar sukan ini; yakni sudah 73 tahun Itali menanti seorang juara dari kalangan mereka sendiri untuk berdiri di puncak dunia sebagai Juara Dunia Formula 1.
Kali terakhir seorang warga Itali mengangkat trofi juara dunia adalah pada tahun 1953, apabila Alberto Ascari mencatat kejayaan keduanya berturut-turut. Sejak itu, walaupun Ferrari, jenama paling ikonik dalam sejarah F1, terus mendominasi litar perlumbaan, tiada seorang pun pemandu Itali yang mampu mengulangi pencapaian legenda tersebut. Ironinya, ramai bintang bertaraf dunia lahir dari negara berkenaan, namun gelaran juara terus terlepas dari genggaman mereka.
Kini, bakat muda Kimi Antonelli sedang mencuri tumpuan seluruh dunia sukan permotoran. Lahir dan membesar di Bologna, Itali yang berkedudukan tidak jauh dari Maranello, rumah kepada Ferrari, Antonelli membawa bersamanya satu naratif yang begitu simbolik. Sekiranya beliau berjaya menamatkan musim 2026 sebagai Juara Dunia, ia bukan sekadar satu lagi kejayaan seorang pemandu muda berbakat, tetapi berpotensi menjadi detik bersejarah yang mengakhiri satu penantian yang lebih lama daripada usia kebanyakan peminat F1 hari ini.
Untuk memahami betapa besarnya makna ini, kita perlu melihat kembali beberapa detik pahit dalam sejarah. Sepanjang dekad 1970-an hingga 1990-an, beberapa pemandu Itali pernah menghampiri takhta tersebut namun gagal merealisasikannya. Michele Alboreto, misalnya, pernah menjadi naib juara dunia pada pertengahan 1980-an, membawa harapan tinggi buat rakyat Itali ketika itu. Namun setiap kali harapan itu timbul, ia turut dipadamkan oleh persaingan sengit di litar, kegagalan mekanikal, ataupun sekadar nasib yang tidak menyebelahi mereka. Kegagalan demi kegagalan ini hanya memanjangkan lagi kemarau yang bermula sejak era Ascari.
Justeru itu, jika benar Antonelli mampu mengekalkan momentumnya sehingga penghujung musim 2026, ia bukan sekadar catatan statistik semata-mata. Ia akan menjadi detik permulaan era baharu buat sebuah negara yang telah lama menantikan gelaran juara dunia untuk julung kalinya dinobatkan daripada kalangan rakyat mereka sejak lebih tujuh dekad yang lalu.
Menariknya, kisah ini turut membuka ruang kepada spekulasi menarik di kalangan peminat. Bagaimana pula jika suatu hari nanti, laluan kerjaya Antonelli membawanya pulang ke pangkuan Ferrari? Gabungan pemandu kerakyatan Itali tulen dengan pasukan paling ikonik dunia yakni Itali juga sudah tentu menjadi cerita dongeng yang diimpikan setiap peminat Tifosi. Namun begitu, itulah yang menjadikan perjalanan Antonelli begitu menarik untuk terus ikuti.
Sama ada ramalan ini akan menjadi kenyataan atau sekadar impian semata-mata, satu perkara yang pasti. Buat pertama kalinya sejak sekian lama, Itali sekali lagi mempunyai alasan kukuh untuk meletakkan impian besar dalam dunia Formula 1.


