Helmet Istimewa Max Verstappen Buat Dutch GP Terakhir di Zandvoort

Untuk julung kalinya sejak Grand Prix Belanda kembali ke kalendar Formula 1 pada tahun 2021, hujung minggu 21 hingga 23 Ogos di Sirkuit Zandvoort membawa suasana yang amat berbeza. Bukan sekadar satu lagi ‘home race’ bagi Max Verstappen, tetapi perpisahan (sekurang-kurangnya buat masa sekarang) antara juara empat kali dunia itu dengan penyokong setianya yang dikenali sebagai “the Orange Army”. Pastinya, ribuan para peminat bakal memenuhi tribun khas Max Verstappen di Zandvoort buat kali terakhir.

Sebagai penghormatan kepada detik bersejarah ini, Verstappen bakal menampilkan reka bentuk helmet istimewa yang jauh berbeza daripada gaya biasanya musim ini. Beralih daripada warna oren terang yang menjadi identitinya, beliau memilih kombinasi putih dan biru ‘navy’ yang diilhamkan oleh Delftware atau Delftsblauw iaitu tembikar tradisional Belanda yang terkenal sejak abad ke-17. Corak bunga yang halus serta hiasan biru yang teliti menghiasi bahagian bawah helmet tersebut, sementara jenama Red Bull dan Oracle yang menjadi ciri tetap kekal dipaparkan berhampiran bahagian visor. Lambang singa ikoniknya turut disepadukan pada bahagian atas helmet, mengekalkan sentuhan peribadi di tengah-tengah reka bentuk yang penuh simbolik itu. Pengumuman ini telahpun dibuat di akaun rasminya di Instagram seperti yang tertera:

View this post on Instagram

Menjelaskan inspirasi di sebalik reka bentuk tersebut, Verstappen turut merujuk kepada sebuah trofi yang pernah dimenangi olehnya di Zandvoort, sambil menyatakan hasratnya untuk melakukan sesuatu yang istimewa buat perlumbaan terakhir ini berbanding mengulangi tema oren yang biasa. Menerusi media sosial, beliau turut menulis ucapan ringkas: “For my last home race. Dankjewel Zandvoort.”

Status “terakhir buat masa ini” bagi Grand Prix Belanda ini timbul selepas promoter acara memutuskan untuk tidak memperbaharui perjanjian dengan Formula 1 selepas musim 2026 tamat, walaupun perjanjian sebelum ini telah dilanjutkan sehingga tahun ini. Ini bermakna Zandvoort tidak akan tersenarai dalam kalendar F1 2027, yakni mengakhiri era enam tahun yang bermula apabila litar tersebut kembali ke jadual F1 pada 2021, selepas terakhir menjadi tuan rumah pada 1985.

Max Verstappen telahpun menjuarai perlumbaan tersebut pada tahun 2021, 2022, dan 2023, sebelum tewas kepada Lando Norris pada 2024 dan Oscar Piastri pada 2025. Kali ini, Verstappen memasuki perlumbaan dalam kedudukan keenam kejuaraan pemandu dengan 109 mata, tertinggal 110 mata daripada ‘Championship Leader’, Kimi Antonelli. Manakala Red Bull pula berada di tangga keempat kejuaraan pasukan dengan 177 mata.

Dalam erti kata lain, helmet berwarna putih-biru ini bukan sekadar hiasan kosmetik. Ia juga adalah penghormatan terakhir buat juara dunia Formula 1 empat kali ini buat tanah airnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related