Aston Martin bermula dengan mimpi besar pada tahun 2025 apabila dunia permotoran dikejutkan dengan kedatangan Adrian Newey ke pasukan itu.
Reputasi beliau sebagai pereka kereta F1 paling berjaya bukan sekadar menggalas tanggungjawab dalam membentuk sebuah kereta yang pantas, tetapi perlu menentukan hala tuju pasukan kerana beliau juga memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pasukan Aston Martin.
Dengan perubahan besar peraturan teknikal pada 2026, Aston Martin dilihat mempunyai peluang untuk membuka lembaran baharu. Ditambah pula dengan kehadiran Honda sebagai rakan kongsi pengeluar enjin dan Newey sebagai figura utama projek tersebut, para peminat yakin pasukan itu mampu bersaing dengan empat pasukan gergasi F1 – McLaren, Red Bull, Ferrari, dan Mercedes.
Aston Martin Bergelut Pada Awal Musim
Jangkaan peminat mula pudar buat Aston Martin ketika sesi ujian pra-musim F1 2026 apabila pasukan itu dibelenggu dengan masalah teknikal dan reliabiliti enjin Honda. Pasukan itu hanya mampu melakukan 400 pusingan penuh sepanjang 11 hari ujian, manakala pasukan seperti Mercedes berjaya mencapai 1,214 pusingan.
Tibanya perlumbaan pembuka di Australia, sekali lagi peminat dikecewakan dengan prestasi Aston Martin apabila mereka tidak mampu melayakkan diri ke Q2 semasa sesi Qualifying. Perlumbaan minggu itu berakhir dengan mimpi ngeri apabila Stroll hanya meraih P17 dan ketinggalan 15 pusingan manakala Alonso tidak dapat menghabiskan perlumbaan (DNF).
Tidak Jumpa Titik Tengah
Persoalan tentang masalah yang dihadapi oleh Aston Martin ini akhirnya diketahui umum apabila Adrian Newey bersuara tentang ketidaksediaan pasukan itu untuk menghadapi musim baharu dengan perubahan besar peraturan teknikal.
Kenyataan Newey pada GP Australia:
“Apabila mereka (Honda) ditubuhkan semula, rupanya ramai daripada kumpulan asal telah berpecah—ada yang pergi bekerja dalam bidang panel solar atau sebagainya. Jadi, ramai dalam kumpulan yang ditubuhkan semula ini sebenarnya masih baharu dalam Formula 1; mereka tidak membawa pengalaman yang pernah dimiliki sebelum ini.”
Musim berlalu, perlumbaan demi perlumbaan, namun pasukan itu masih bergelut untuk menjadi kompetitif. Reka bentuk Aston Martin itu sendiri tidak dapat beradaptasi dengan unit kuasa yang direka oleh Honda, seolah-olah tiada persefahaman di antara jentera dan enjin yang dicipta oleh mereka.
Realiti tidaklah seindah yang disangka buat peminat pasukan dari England itu apabila pendatang baharu seperti pasukan Cadillac juga mampu menyaingi mereka.
Newey Memilih Untuk Ubah Laluan
Setelah 10 perlumbaan, Aston Martin hanya memperoleh 1 mata di GP Monaco apabila Alonso diklasifikasikan meraih P10 selepas beberapa pelumba dikenakan penalti.
Walau bagaimanapun, Newey seakan berjaya menemui magisnya apabila Aston Martin memperkenalkan naik taraf yang besar buat pasukan itu menjelang GP Hungary. 16 jenis kemaskini bahagian kereta yang telah direka oleh Newey membuahkan hasil apabila Alonso berjaya melayakkan jenteranya ke Q2 buat pertama kali pada musim ini.
Lebih membanggakan, setelah sekian lama mereka bergelut di posisi akhir, Stroll dan Alonso masing-masing berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan P13 dan P14.
Hungary bukan bermaksud Aston Martin sudah kembali ke kelompok hadapan. Namun, perubahan positif ini menunjukkan mereka mula bergerak ke arah yang betul. Dan jika Hungary benar-benar merupakan permulaan kebangkitan mereka, mungkin selepas ini kita bakal melihat Aston Martin yang selama ini dijanjikan kepada peminatnya.


