Kalau anda peminat Formula 1, ada satu berita yang wajib anda tahu: The F1® Exhibition kini rasmi mendarat di Singapura, dan ini adalah kali pertama pameran bertaraf dunia ini singgah di benua Asia. Selepas mencatat kejayaan besar di bandar-bandar seperti Madrid, Vienna, Toronto, London, Oberhausen, Amsterdam, Melbourne dan Buenos Aires, Singapura kini menjadi destinasi ke-11 di dunia untuk pameran ini. Bayangkan, lebih 77 tahun sejarah F1 dimampatkan dalam satu pengalaman. Ianya sedang berlangsung sekarang, di Marina Bay Sands sehingga 18 Oktober 2026 ini.
Bagi peminat yang selama ini hanya mengimpikan peluang untuk melihat jentera-jentera F1 klasik dari era-90an serta awal 2000 di depan mata, ini adalah peluang keemasan anda untuk merasai sendiri suasana nostalgia ini tanpa perlu terbang jauh ke Eropah.
Apa Yang Menanti Anda Di Dalam?

Pameran ini bukan sekadar pameran jentera F1 dalam bilik kosong. Terdapat tujuh bilik bertema yang direka khas untuk bawa pengunjung menyusuri perjalanan F1 dari zaman awal sehingga era moden penuh teknologi canggih hari ini.
Salah satu highlight yang paling menyentuh perasaan ialah bilik bernama “Survival”. Di sini, anda akan lihat sendiri bahagian kereta HAAS milik pemandu Romain Grosjean, lengkap dengan sarung tangan dan bootnya, peninggalan daripada kemalangan dramatik yang menggemparkan dunia F1 di Bahrain pada tahun 2020. Ia satu peringatan betapa bahayanya sukan ini, dan betapa pentingnya inovasi keselamatan yang sentiasa dipertingkatkan.
Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk mencuba simulator F1. Rasai sendiri bagaimana rasanya memegang stereng jentera F1, dengan sesi selama lebih kurang tujuh minit. Tiada had umur untuk mencuba, cuma syaratnya pengunjung perlu mempunyai ketinggian minimum 1.3 meter.
Yang paling istimewa untuk pengunjung tempatan, edisi Singapura ini turut menampilkan bilik eksklusif bernama “Singapore Drive” satu penghormatan khas kepada sejarah dan sumbangan Grand Prix Singapura dalam kalendar F1 dunia. Perjalanan pameran ini kemudiannya berakhir dengan “The Pit Wall”, satu pengalaman sinematik yang meletakkan anda di tengah-tengah suasana litar perlumbaan sebenar.
Maklumat Praktikal Untuk Lawatan Anda.
The F1® Exhibition Singapore kini dibuka di Gardens by the Bay, di 18 Marina Gardens Drive, Singapore 018953 bersebelahan Satay by the Bay dan mudah diakses terus dari Stesen MRT Gardens by the Bay (Exit 1).
Pameran ini akan berlangsung dari 23 Julai 2026 sehingga 18 Oktober 2026. Dari 23 Julai hingga 2 Ogos, ia dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 9 malam. Selepas itu, bermula 3 Ogos sehingga 18 Oktober, waktu operasi adalah dari 11 pagi hingga 8 malam.
Untuk harga tiket, ia bermula dari S$29 bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun, S$40 untuk remaja 13 hingga 17 tahun, dan S$49 untuk dewasa berumur 18 tahun ke atas.
Jangan Tunggu Lama Lagi
Dengan tempoh pameran yang terhad dan ianya hanya berlangsung sekali sahaja di rantau Asia, ini bukan masa untuk berlengah. Sama ada anda peminat tegar yang mengikuti setiap perlumbaan, atau sekadar mahu cari aktiviti menarik untuk keluarga di Singapura, The F1® Exhibition menawarkan sesuatu untuk semua orang, dari kisah sejarah Formula 1, teknologi canggih, sehingga pengalaman interaktif yang jarang ditemui di tempat lain.
Jadi, sebelum bendera penamat berkibar pada 18 Oktober nanti, pastikan anda sempat singgah ke Gardens by the Bay dan rasai sendiri keajaiban dunia Formula 1 di depan mata anda.


