Pada tahun 2015, seorang pemuda Malaysia, Jazeman Jaafar telah menerima 2 tawaran untuk menyertai Formula 1 pada musim 2016 bersama pasukan Manor Grand Prix atau Force India (kini – Aston Martin Racing) namun beliau terpaksa menolak kedua-dua tawaran tersebut. Persoalannya, apa yang terjadi?
Sebelum kita menjawab persoalan itu, mari kita mengenali insan yang bernama Jazeman Jaafar ini terlebih dahulu.
Dari Litar Karting Shah Alam ke Podium Eropah
Kisah Jazeman bermula seawal usia enam tahun, di mana beliau mula berlumba karting di Shah Alam, Selangor. Bakatnya menonjol dengan cepat apabila pada usia 13 tahun beliau sudah pun diberikan kelonggaran khas oleh FIA untuk memegang Lesen Antarabangsa C bagi bersaing dalam Formula Renault Asia. Setahun kemudian, pada 2007, beliau terus meraih pencapaian juara termuda dalam sejarah Formula BMW Asia.
Dengan sokongan Petronas di belakangnya, Jazeman terus mara ke British Formula 3 bersama pasukan Carlin, dan pada 2012 beliau mencatat sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang meraih kemenangan Formula 3 Euro Series di Brands Hatch, hanya seminggu selepas kemenangan di Pau, Perancis bagi British Formula 3. Lebih mengejutkan apabila beliau juga turut menduduki tempat ke-2 di dalam kejuaraan tersebut. Kemuncak fasa single-seater kerjayanya tiba pada 2013 apabila beliau menjuarai Formula Renault 3.5 World Series di litar ikonik Monaco, membuktikan pencapaiannya dan mengangkat namanya sebagai prospek F1 paling cerah dari Asia Tenggara pada ketika itu.

Laluan Rasmi ke Mercedes-AMG PETRONAS
Antara 2011 hingga 2015, Jazeman berkhidmat sebagai pemandu pembangunan (development driver) rasmi pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1, di bawah Program Pembangunan Bakat Petronas. Peranan ini membawanya melalui beberapa sesi ujian kereta F1 sebenar termasuklah peluang memandu jentera tersebut di Silverstone yang menjadi salah satu detik penting dalam kerjayanya.
Sokongan bukan hanya datang dari agensi-agensi korporat, kerana pada 2015, Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Khairy Jamaluddin, secara terbuka menyatakan hasratnya supaya kerajaan melabur dalam pelumba seperti Jazeman untuk memastikan Malaysia memiliki semula pelumba F1.
Menurut laporan Malay Mail, beliau berkata rakyat mahu melihat “seorang pelumba F1 tempatan di atas grid,” sambil mengakui bahawa melahirkan seorang pelumba F1 memerlukan pelaburan yang sangat besar.
Mengapa Ia Tidak Kesampaian?
Perkara yang ramai tidak sedar ialah Jazeman sebenarnya pernah ditawarkan kerusi F1 sebenar. Pada pertengahan 2015, laporan paultan.my mendedahkan beliau telah ditawarkan dua kerusi musim penuh untuk 2016 dengan salah sebuah pasukan yang menggunakan enjin Mercedes. Dalam satu temu bual bersama TarmacSports di podcast Wheel Talk pada tahun 2025, Jazeman turut mengesahkan sendiri bahawa tawaran itu datang daripada dua pasukan
“tawaran daripada Force India, dan satu lagi daripada Manor Racing, yang enjinnya dibekalkan oleh Mercedes.”
Masalahnya bukan pada bakat, tetapi pada wang. Menurut paultan.my, seorang pelumba F1 ketika itu memerlukan perbelanjaan tahunan sekitar 15 juta euro (kira-kira RM63 juta) untuk membiayai satu musim penuh dan Jazeman sendiri berkata dalam podcast Wheel Talk “soal dana (funding) adalah kunci untuk merealisasikan impian itu.” Menurut pengakuannya sendiri lagi dalam podcast Wheel Talk, tawaran itu datang berserta opsyen untuk musim 2017, namun gabungan tempoh masa yang ketat dan kegagalan mengunci komitmen seorang penaja korporat tertentu menyebabkan peluang itu terlepas. Dalam temu bual yang sama, Jazeman turut menceritakan bagaimana pasukan itu memberikan tawaran balas tidak lama selepas rundingan awal, tetapi tempoh masa yang diperlukan untuk memuktamadkan perjanjian itu tidak dapat dipenuhi. Walaupun begitu, kontrak itu, katanya, masih tersimpan di dalam timbunan surat di rumahnya sehingga kini.
Program pembangunan pelumba di bawah Petronas turut berkurangan skopnya seiring perubahan strategi pasukan Mercedes-AMG PETRONAS, sementara bilangan kerusi F1 yang terhad iaitu hanya kira-kira 20 tempat duduk untuk seluruh dunia setiap musim, bermakna para pelumba terbaik dunia seperti Jazeman terpaksa bersaing dengan puluhan bakat lain dari serata dunia yang turut disokong oleh pasukan-pasukan serta penaja-penaja besar. Tanpa penaja yang mampu menampung perbelanjaan jutaan ringgit itu dalam tempoh masa yang diberikan, laluan rasminya ke F1 terpaksa ditutup buat selama-lamanya.
Peralihan Ke Litar Endurance
Daripada berhenti, Jazeman menyalurkan bakatnya ke dalam sukan permotoran lumba jarak jauh (endurance racing). Beliau menyertai Akademi GT McLaren, kemudian berlumba untuk pasukan seperti HTP Motorsport dan Strakka Racing dalam Blancpain/GT World Challenge, sebelum menempa sejarah bersama Nabil Jeffri dan Weiron Tan sebagai barisan Malaysia pertama meraih kemenangan dalam FIA World Endurance Championship, di pusingan Fuji pada 2018.
Beliau turut melakar sejarah dengan perlumbaan di Le Mans 24 Jam dan European Le Mans Series bersama Jota Racing berpasangan dengan pelumba Indonesia, Sean Gelael termasuk podium ketiga di “4 Hours of Monza” pada 2021. Ketika itu, menurut laporan Malay Mail, beliau meluahkan rasa bersyukur kerana “berjaya meraih podium selepas bermula dari kedudukan ke-11.” Dalam kategori inilah ironi kisahnya terserlah: Jazeman akhirnya berlumba roda-ke-roda menentang bekas pelumba F1 sebenar di litar seperti Le Mans, Perancis dan Spa, Belgium bukan dalam F1 seperti yang diimpikan, tetapi cukup dekat untuk membuktikan tahap sebenar yang beliau selayaknya berada.

Di Mana Beliau Sekarang?
Pencapaiannya dalam WEC membawa kepada anugerah Petronas International Racing Driver of the Year pada 2019, sekali gus melayakkannya ke Dewan Kemasyhuran Sukan Permotoran Malaysia. Pada tahun yang sama, beliau dilantik sebagai Pengarah Lembaga Litar Antarabangsa Sepang oleh Kementerian Belia dan Sukan, peranan yang masih disandangnya sambil terus aktif berlumba, termasuk musim 2025 Super GT di Jepun.
Kini, tumpuan Jazeman banyak beralih kepada pembangunan bakat muda. Menurut laporan TarmacSports, beliau baru-baru ini dilantik sebagai Penasihat Standard Pemanduan bagi Porsche Carrera Cup Asia, satu sambungan semula jadi daripada penglibatannya menerajui Toyota Technical Apprentice Programme (TTAP), yang kini memasuki tahun kelima membimbing bakal-bakal juruteknik dan pelumba muda Malaysia.
Penutup
Kisah Jazeman Jaafar bukanlah suatu kisah kegagalan tetapi kisah tentang betapa tipisnya jurang antara “hampir” dan “berjaya” dalam sukan paling kompetitif di dunia, terutamanya bagi pelumba bukan dari latar belakang tradisional seperti Malaysia, di mana laluan ke F1 lebih banyak bergantung kepada nasib penempatan kerusi berbanding bakat semata-mata. Namun dalam ketiadaan kerusi F1 itu, Jazeman membina legasi lain, yakni sebagai antara pelumba endurance paling berjaya yang pernah dilahirkan Malaysia, dan kini, sebagai pembimbing kepada generasi seterusnya yang mungkin akan pergi lebih jauh daripada yang beliau pernah capai.
Sumber Rujukan:
- paultan.org, “Jazeman Jaafar offered an F1 seat for 2016 season” (29 Julai 2015) — paultan.org/2015/07/29
- Malay Mail, “Jazeman can be a good investment to end Malaysia’s search for F1 driver, says Khairy” (30 Mac 2015) — malaymail.com/news/sports/2015/03/30
- Malay Mail, “Jazeman records podium finish at Monza” (12 Julai 2021) — malaymail.com/news/sports/2021/07/12
- The Star (via PressReader), “Jazeman is first Malaysian to win F3 Euro Series” (22 Mei 2012)
- New Straits Times (via PressReader), “Dr Mahathir Honoured” (13 Februari 2019)
- Tatler Asia, profil Jazeman Jaafar — tatlerasia.com/people/jazeman-jaafar
- Sepang International Circuit, profil rasmi Jazeman Jaafar — sepangcircuit.com/jazeman-jaafar
- Wikipedia, “Jazeman Jaafar”
- TarmacSports, “Jazeman Jaafar kini Penasihat Standard Pemanduan Porsche Carrera Cup Asia” — tarmacsports.net
- TarmacSports, Wheel Talk podcast. “Episod 10 – Jazeman Jaafar: Impian, Cabaran dan Misi Memberi Kembali kepada Sukan Bermotor Malaysia”


