Berikutan spekulasi mengenai kemungkinan Formula 1 kembali dianjurkan di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, susulan pembatalan salah satu pusingan di rantau Timur Tengah yang melibatkan Grand Prix Bahrain pada April lalu, Malaysia dilihat antara destinasi yang berpotensi menjadi pilihan berdasarkan kedudukan strategiknya serta kelebihan dari sudut logistik.
Tarmac Sports berkesempatan mendapatkan pandangan Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir mengenai tahap kesiapsiagaan badan induk itu sekiranya Formula 1 kembali ke Malaysia, khususnya mengambil kira perubahan ketara dari aspek teknikal antara jentera Formula 1 musim 2026 berbanding era penganjuran terakhir di Sepang pada 2017.
Sebagai badan induk sukan permotoran negara yang diiktiraf oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), MAM bertanggungjawab menyelia pembangunan sukan permotoran, memastikan pematuhan piawaian keselamatan serta menyokong penganjuran pelbagai kejohanan di Malaysia.
Menurut Tan Sri Mokhzani, pengalaman yang dimiliki oleh tenaga kerja MAM dan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang masih lagi relevan untuk mengendalikan Formula 1.
“Pengalaman yang sedia ada pada kakitangan SIC dan MAM masih relevan. Mungkin hanya perlu menjalani kursus penyegaran kerana kereta Formula 1 musim 2026 sangat berbeza berbanding kereta Formula 1 musim 2017.”
Beliau turut menjelaskan bahawa pengalaman berterusan menganjurkan MotoGP menjadi kelebihan penting kepada Malaysia dalam mengekalkan standard operasi bertaraf dunia.
“Perlu diingat, SIC masih menjadi tuan rumah MotoGP. Ini bermakna kakitangan SIC sentiasa terdedah kepada perlumbaan bertaraf dunia. Dari segi infrastruktur pula, SIC masih diiktiraf sebagai litar Grade 1, yang memenuhi syarat untuk penganjuran Formula 1. MAM sentiasa bersedia membantu dalam segala persiapan sekiranya peluang untuk menganjurkan Formula 1 kembali menjadi kenyataan di Malaysia.”
Sekiranya Formula 1 kembali ke Malaysia, pengalaman luas MAM dan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dalam mengendalikan acara permotoran bertaraf dunia diyakini mampu menjadi antara faktor utama dalam memastikan penganjuran berlangsung mengikut piawaian tertinggi FIA.


