David Alonso sertai Honda Racing Corporation, beraksi di MotoGP mulai 2027

Honda Racing Corporation (HRC) secara rasmi mengumumkan bahawa pelumba muda berbakat, David Alonso akan menyertai pasukan itu bagi menghadapi saingan MotoGP bermula musim 2027.

Pelumba kelahiran Colombia itu telah menandatangani kontrak jangka panjang bersama pengeluar Jepun berkenaan. Bagaimanapun, HRC masih belum mengesahkan sama ada Alonso akan berlumba bersama pasukan kilang Honda HRCatau LCR Honda pada musim pertamanya di kelas premier.

Alonso mula mencuri perhatian dalam paddock MotoGP apabila menamatkan musim Moto3 2023 di tempat ketiga pada tahun debutnya. Setahun kemudian, beliau tampil cemerlang dengan menguasai saingan Moto3, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai antara bakat muda paling menyerlah dan berpotensi dalam sukan permotoran dunia.

Kini mengharungi musim kedua dalam Kejuaraan Dunia Moto2, Alonso terus mempamerkan peningkatan memberangsangkan apabila meraih kemenangan sulung dalam kelas pertengahan di Grand Prix Hungary 2025. Prestasi konsistennya turut menyaksikan beliau kini berada di kedudukan keempat keseluruhan dalam perebutan kejuaraan dunia Moto2 musim 2026.

Sepanjang kariernya dalam Moto3 dan Moto2, Alonso telah mengumpul 20 kemenangan, 30 podium dan sembilan petak utama (pole position), sekali gus membuktikan kemampuannya sebagai antara prospek terbaik untuk masa depan MotoGP.

Sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi musim 2027, Alonso dijadual membuat penampilan pertama di atas jentera Honda MotoGP pada Ujian Valencia yang berlangsung sejurus tamat musim 2026.

Kehadiran Alonso dijangka menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang Honda untuk mengembalikan pasukan itu ke kelompok pencabar utama selepas beberapa musim bergelut dalam saingan MotoGP. Dengan usia yang masih muda serta rekod prestasi yang mengagumkan, ramai melihat pelumba Colombia itu mampu memainkan peranan penting dalam era baharu Honda di kelas premier.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related