VR46 Racing Team lanjut kerjasama bersama Ducati sehingga musim 2029

Pertamina Enduro VR46 Racing Team mengesahkan kerjasama mereka bersama Ducati akan diteruskan sekurang-kurangnya sehingga penghujung musim MotoGP 2029 selepas kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan perjanjian selama tiga tahun lagi.

Menerusi pembaharuan kontrak itu, pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi, akan terus berstatus sebagai Factory Supported Team Ducati, sekali gus mengekalkan kerjasama yang telah terjalin sejak musim 2022.

Hubungan antara kedua-dua pihak semakin kukuh apabila VR46 dinaikkan taraf sebagai pasukan sokongan rasmi Ducati bermula musim 2025, hasil prestasi memberangsangkan yang dipamerkan dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Sepanjang kerjasama tersebut, VR46 Racing Team berjaya mencatat empat kemenangan, 16 penamat podium serta menyumbang 1,792 mata kepada kedudukan Kejuaraan Pengeluar Ducati.

Di bawah perjanjian baharu itu, tiada perubahan besar akan dilakukan terhadap struktur pasukan. VR46 akan terus menggunakan dua jentera Ducati Desmosedici GP, dengan satu motosikal spesifikasi kilang yang menerima naik taraf teknikal sepanjang musim dan satu lagi motosikal spesifikasi standard bukan kilang.

Kedua-dua jentera itu juga akan terus menerima sokongan teknikal secara langsung daripada jurutera Ducati yang sudah menjadi sebahagian daripada pasukan.

Pengarah Pertamina Enduro VR46 Racing Team, Alessio Salucci, menyifatkan lanjutan kerjasama tersebut sebagai satu pengiktirafan terhadap usaha seluruh pasukan.

“Kami amat berbangga dapat mengumumkan lanjutan kerjasama bersama Ducati sebagai Factory Supported Team untuk tiga musim lagi. Sejak diberikan kepercayaan memegang status ini, ia merupakan satu penghormatan besar buat seluruh pasukan kami.

“Lebih bermakna apabila kerjasama ini diteruskan kerana ia membuktikan konsistensi serta kerja keras setiap individu dalam pasukan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kongsi dan Ducati, khususnya Luigi Dall’Igna, Claudio Domenicali dan Mauro Grassilli, kerana terus mempercayai projek kami.

“Dengan perubahan besar peraturan teknikal yang akan diperkenalkan pada musim 2027, kami sedar cabaran yang bakal dihadapi semakin besar. Namun kami yakin dengan asas kukuh yang telah dibina, kami mampu mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Ducati Corse, Luigi Dall’Igna, berkata kerjasama bersama VR46 telah memberikan banyak kejayaan sejak ia bermula beberapa tahun lalu.

“Sejak hari pertama kami bekerjasama, Pertamina Enduro VR46 Racing Team sentiasa menunjukkan profesionalisme, kepakaran dan semangat yang tinggi. Bersama-sama kami telah mencapai pelbagai kejayaan penting.

“Kami gembira dapat meneruskan kerjasama ini sekurang-kurangnya sehingga 2029. Pembaharuan kontrak ini mengukuhkan lagi hubungan yang dibina atas nilai, visi dan cita-cita yang sama. Saya yakin kami akan terus menikmati lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Valentino Rossi, Alessio Salucci, Pablo Nieto serta seluruh warga pasukan atas komitmen dan dedikasi mereka,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related