Impian Fermin Aldeguer untuk meneruskan aksi di Grand Prix Belanda tidak kesampaian apabila pelumba BK8 Gresini Racing MotoGP itu disahkan tidak cergas untuk berlumba selepas mengalami kemalangan ketika sesi latihan pada Jumaat.
Pelumba bernombor #54 itu menjalani pemeriksaan perubatan pada pagi Sabtu sebelum disahkan tidak layak untuk meneruskan perlumbaan. Hasil pemeriksaan mendapati Aldeguer mengalami retak pada vertebra T7, dan kecederaan tersebut akan dipantau serta dinilai dengan lebih lanjut dalam beberapa hari akan datang bagi menentukan tempoh pemulihannya.
Kecederaan itu hadir ketika Pelumba berusia 21 tahun dari Sepanyol itu kini menghuni tangga kesembilan keseluruhan Kejuaraan Dunia MotoGP 2026 dengan kutipan 76 mata, hasil beberapa persembahan konsisten termasuk meraih podium di GP Catalunya pada bulan lalu.
Bagaimanapun, kecederaan retak pada vertebra T7 itu turut memperlahankan rentak Aldeguer yang menyasarkan kedudukan lebih baik dalam saingan kejuaraan yang ketika ini semakin memasuki fasa penting. Tempoh pemulihan pelumba Sepanyol itu masih belum diumumkan, dengan BK8 Gresini Racing dijangka akan mengeluarkan perkembangan terkini selepas beliau menjalani pemeriksaan lanjut dalam masa terdekat.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Alex Marquez, yang turut terlibat dalam kemalangan pada Jumaat, disahkan cergas untuk berlumba selepas menjalani pemeriksaan perubatan pada Sabtu. Justeru, pelumba Sepanyol itu akan meneruskan saingan di Litar TT Assen sepanjang hujung minggu ini.


