ASSEN, Belanda – Grand Prix Commission mengesahkan beberapa perubahan penting terhadap peraturan MotoGP yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, termasuk pengharaman penggunaan peranti holeshot serta perubahan pada susun atur grid perlumbaan bagi meningkatkan tahap keselamatan.
Perubahan paling ketara ialah larangan penggunaan peranti holeshot, iaitu sistem yang digunakan untuk merendahkan motosikal ketika permulaan perlumbaan bagi meningkatkan cengkaman dan pecutan.
Walaupun peranti tersebut sememangnya dijadualkan untuk diharamkan sepenuhnya menerusi perubahan peraturan besar-besaran pada musim 2027, pihak MotoGP memutuskan untuk mempercepatkan pelaksanaannya bermula hujung minggu ini sempena Grand Prix Belanda di Assen.
Isu penggunaan peranti holeshot menjadi topik hangat sepanjang beberapa pusingan musim ini, khususnya melibatkan aspek keselamatan dan kos pembangunan teknologi. Dengan keputusan terbaru itu, semua pasukan kini perlu berlumba tanpa menggunakan sistem berkenaan.
Selain itu, MotoGP turut mengumumkan perubahan terhadap susun atur grid perlumbaan yang akan berkuat kuasa bermula Grand Prix Jerman.
Peraturan baharu tersebut melibatkan semua kategori Kejuaraan Dunia Grand Prix, termasuk MotoGP, Moto2 dan Moto3.
Rajah di atas merupakan format baharu, jarak antara setiap pelumba di grid akan ditingkatkan daripada tiga meter kepada empat meter. Susulan itu, jarak antara setiap barisan grid juga akan bertambah daripada sembilan meter kepada 12 meter.
Walaupun setiap barisan masih menempatkan tiga pelumba seperti sebelum ini, ruang tambahan yang diberikan dijangka dapat mengurangkan risiko insiden ketika permulaan perlumbaan serta meningkatkan keselamatan pelumba.
Dalam perkembangan lain, Grand Prix Commission turut mengesahkan satu peraturan yang akan berkuat kuasa mulai musim 2028, di mana setiap pengeluar hanya dibenarkan menurunkan maksimum enam motosikal di grid perlumbaan.
Peraturan tersebut bermaksud sesebuah pengeluar hanya boleh membekalkan jentera kepada maksimum dua pasukan satelit selain pasukan kilang mereka sendiri, dengan syarat sekurang-kurangnya lima pengeluar bersaing dalam kejuaraan pada ketika itu.
Walaupun had enam motosikal bagi setiap pengeluar sudah diamalkan pada musim 2026 seperti yang dilakukan oleh Ducati ketika ini peraturan baharu itu akan menjadikannya sebahagian daripada undang-undang rasmi MotoGP bermula 2028.


