Penalti 12 posisi di grid bukan penghalang untuk Pelumba muda negara, Hakim Danish dalam meneruskan kecemerlangannya minggu ini apabila mencipta sejarah dengan meraih kemenangan sulung kariernya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 di Grand Prix Czech 2026 hari ini.
Lebih manis, kejayaan itu turut menamatkan penantian selama sedekad buat Malaysia untuk kembali berdiri di podium tertinggi Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal. Kali terakhir Jalur Gemilang berkibar megah di puncak podium adalah menerusi Khairul Idham Pawi yang memenangi perlumbaan Moto3 di Sachsenring, Jerman pada tahun 2016.
Kemenangan di Brno turut menyaksikan Hakim menjadi pelumba Malaysia terbaharu mencipta nama di pentas dunia, sekali gus mengulangi pencapaian hebat yang pernah dilakar oleh Khairul Idham Pawi dan Hafizh Syahrin, yang menjadi pelumba Malaysia pertama beraksi sepenuh masa dalam kelas premier MotoGP.
Hakim memulakan perlumbaan dalam situasi yang sukar selepas dikenakan penalti turun 12 petak grid akibat pelanggaran peraturan semasa sesi kelayakan. Walaupun mencatat masa kedua terpantas dalam Kelayakan 2 (Q2), penalti tersebut menyaksikan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu terpaksa bermula dari petak ke-14.
Namun, cabaran itu tidak mematahkan semangat pelumba berusia 18 tahun tersebut.
Sejurus perlumbaan bermula, Hakim mempamerkan aksi agresif dan penuh keyakinan apabila berjaya memintas beberapa pelumba untuk melonjak ke kedudukan kelima menjelang pusingan kedua, sekali gus menyertai kelompok pendahulu perlumbaan.
Di hadapan, persaingan sengit melibatkan Maximo Quiles, David Almansa, Alvaro Carpe dan Brian Uriarte mewarnai sebahagian besar perlumbaan. Hakim bagaimanapun kekal tenang dan konsisten, sentiasa berada dalam kelompok utama sambil menunggu peluang terbaik untuk melakukan serangan.
Perlumbaan memasuki fasa kritikal pada pusingan-pusingan terakhir apabila beberapa pertukaran pendahulu berlaku antara Quiles, Almansa dan Uriarte. Hakim terus mengekori rapat kelompok hadapan sebelum peluang keemasan hadir pada pusingan terakhir.
Insiden sentuhan antara Quiles dan Uriarte di Selekoh 8 membuka ruang buat pelumba Malaysia itu menyelit ke hadapan. Hakim menggunakan peluang tersebut dengan sempurna sebelum menghasilkan tunggangan berani di sektor terakhir untuk mengambil alih kedudukan pendahulu.
Walaupun lima pelumba memasuki selekoh terakhir hampir seiring, tiada siapa mampu menyaingi kepantasan Hakim yang berjaya mempertahankan kedudukannya sehingga garisan penamat.
Pelumba negara itu akhirnya melintasi garisan penamat di tempat pertama untuk meraih kemenangan sulung dalam karier Moto3, sekali gus muncul sebagai pemenang baharu keempat musim 2026.
Brian Uriarte menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala pendahulu kejuaraan dunia, Maximo Quiles, melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi detik paling bermakna dalam karier pelumba berusia 18 tahun itu setakat ini, malah mengukuhkan statusnya sebagai antara bakat paling menyerlah yang pernah dilahirkan Malaysia dalam arena perlumbaan motosikal dunia.
Lebih membanggakan, kemenangan itu hadir pada musim pertamanya di Kejuaraan Dunia Moto3, membuktikan potensi besar yang dimiliki pelumba kelahiran Terengganu itu untuk mengikut jejak langkah legenda-legenda negara di pentas antarabangsa.


