Pasukan SuperFile Trackhouse MotoGP mengumumkan pelantikan Francesco Guidotti sebagai Pengurus Pasukan baharu mereka berkuat kuasa serta-merta menjelang Grand Prix (GP) Republik Czech di Brno.
Pengurus berpengalaman dari Itali itu bakal memulakan tugas rasminya bersama pasukan Amerika Syarikat tersebut pada hujung minggu ini selepas dipilih daripada beberapa calon lain berdasarkan hasil rekod cemerlangnya dalam saingan MotoGP bersama pasukan pengeluar dan pasukan persendirian.
Trackhouse percaya pengalaman luas Guidotti dalam paddock MotoGP akan membantu pasukan itu terus berkembang dan meningkatkan daya saing mereka dalam usaha memburu kejayaan lebih besar pada masa hadapan.
Pengasas dan pemilik Trackhouse, Justin Marks, menyifatkan pelantikan Guidotti sebagai satu langkah penting buat pasukan.
“Ini merupakan perkembangan yang sangat mengujakan buat Trackhouse. Francesco mempunyai karier yang panjang dan berjaya dalam perlumbaan motosikal profesional. Lebih penting, beliau sesuai dengan budaya dan visi syarikat kami.
“Ketika kami melangkah ke fasa seterusnya dalam Kejuaraan Dunia MotoGP, memiliki seorang pemimpin berkaliber seperti Francesco akan membuka lebih banyak peluang untuk pasukan,” kata Marks.
Trackhouse kini memasuki musim ketiga mereka dalam MotoGP dan telah menunjukkan peningkatan ketara hasil pembangunan jentera Aprilia RS-GP26. Prestasi konsisten yang dipamerkan oleh pelumba Raul Fernandez dan Ai Ogura menjadikan pasukan itu antara pencabar yang semakin digeruni dalam saingan musim 2026.
Bagi Guidotti, pelantikan ini turut membawa nilai sentimental kerana beliau pernah memulakan kariernya bersama Aprilia sebelum membantu pengeluar Itali itu meraih gelaran dunia WorldSBK pada tahun 2010.
Selepas berehat selama setahun daripada paddock MotoGP, Guidotti kini kembali dengan semangat baharu untuk mengemudi satu-satunya pasukan Amerika dalam grid MotoGP.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Justin atas kepercayaan yang diberikan. Saya sangat gembira dapat kembali ke MotoGP dan saya tidak boleh mengharapkan peluang yang lebih baik daripada ini.
“Trackhouse ialah pasukan yang muda dan profesional serta sudah pun mencapai beberapa kejayaan istimewa. Saya akan memberikan yang terbaik untuk membantu perkembangan pasukan dan para pelumba.
“Kembali bekerjasama dengan Aprilia juga sangat bermakna buat saya kerana terdapat banyak kenangan manis dan sahabat lama di sana. Saya teruja untuk menyertai SuperFile Trackhouse MotoGP Team,” katanya.
Kehadiran Guidotti dijangka memberikan suntikan pengalaman dan kepimpinan yang diperlukan oleh Trackhouse ketika pasukan itu terus berusaha mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kuasa baharu dalam MotoGP.


