Jordi Torres sertai Joe Rascal Racing bagi baki musim Harley-Davidson Bagger World Cup 2026

Pasukan Joe Rascal Racing mengesahkan Jordi Torres akan menggantikan Cody Wyman bagi baki saingan FIM Harley-Davidson Bagger World Cup 2026 bermula pusingan ketiga di Assen.

Pengumuman itu dibuat selepas Wyman mengambil keputusan untuk melepaskan tugas sebagai pelumba susulan dua pusingan pembukaan musim ini. Pelumba Amerika Syarikat itu bagaimanapun akan terus bersama organisasi Joe Rascal Group dalam peranan baharu di luar litar.

Kehadiran Torres dijangka menambah kekuatan pasukan yang ketika ini sudah memiliki dua pelumba yang menghuni dua tangga teratas kejuaraan iaitu Archie McDonald dan Eric Granado.

Torres bukan nama asing dalam dunia perlumbaan motosikal. Pelumba Sepanyol berusia 38 tahun itu pernah meraih kemenangan dalam kelas Moto2 dan WorldSBK, selain muncul juara dunia MotoE sebanyak dua kali sepanjang kariernya.

Penampilan sulungnya dalam Harley-Davidson Bagger World Cup akan berlangsung pada GP Belanda di TT Circuit Assen, litar yang menyimpan kenangan manis buat Torres apabila pernah meraih lima podium sepanjang kariernya.

Torres mengakui teruja untuk memulakan cabaran baharu bersama Joe Rascal Racing dan tidak sabar merasai pengalaman menunggang jentera Harley-Davidson Bagger buat kali pertama dalam perlumbaan kompetitif.

“Ia satu penghormatan untuk bersaing dalam FIM Harley-Davidson Bagger World Cup bersama Joe Rascal Racing, sebuah pasukan yang sangat profesional dan sentiasa menunjukkan kepimpinan dalam kategori ini.

“Saya sangat teruja untuk berlumba menggunakan Harley-Davidson Bagger. Berdasarkan apa yang saya lihat, motosikal ini kelihatan lincah, berkuasa dan sangat menyeronokkan untuk ditunggang. Perlumbaan-perlumbaan sebelum ini juga nampak cukup menarik dan saya tidak sabar untuk merasainya sendiri.

“Terima kasih kepada pasukan kerana memberi peluang kepada saya berlumba bersama Granado dan McDonald, dua pelumba berpengalaman yang boleh saya pelajari banyak perkara daripada mereka.

“Saya berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat dan saya yakin pasukan akan membantu saya menguasai gaya tunggangan unik Harley-Davidson Bagger,” katanya.

Kehadiran Torres memberikan dimensi baharu kepada Joe Rascal Racing menjelang pusingan ketiga musim ini, dengan pasukan itu kini dilihat memiliki antara barisan pelumba paling kuat dalam kejuaraan Harley-Davidson Bagger World Cup 2026.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related