Litar MotorLand Aragón disahkan akan terus menjadi tuan rumah Grand Prix Aragon pada musim 2027 selepas termeterainya perjanjian baharu antara Kerajaan Aragon dan MotoGP.
Pengumuman rasmi mengenai pembaharuan kontrak tersebut dibuat pada hari ini menerusi satu majlis yang berlangsung di Zaragoza.
Walaupun pembaharuan itu hanya melibatkan penganjuran Grand Prix pada 2027, MotorLand Aragon akan terus menjadi sebahagian daripada struktur MotoGP apabila dilantik sebagai litar simpanan rasmi bagi tempoh 2028 hingga 2031.
Ketua Pegawai Eksekutif MotoGP, Carmelo Ezpeleta, menyifatkan Aragon sebagai rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam perkembangan MotoGP di Sepanyol sejak hampir dua dekad lalu.
“MotorLand Aragon telah menjadi rakan penting MotoGP selama hampir dua dekad dan memainkan peranan besar dalam kehadiran kejuaraan ini di Sepanyol. Pembaharuan kontrak bagi 2027 mencerminkan kekuatan kerjasama ini serta nilai yang dibawa acara tersebut kepada rantau berkenaan.
“Kami gembira dapat meneruskan kerjasama ini dan memastikan Aragon terus menjadi sebahagian daripada keluarga MotoGP pada tahun-tahun akan datang sebagai litar simpanan,” katanya.
Penganjuran Grand Prix Aragon dilihat memberi impak ekonomi yang besar kepada wilayah berkenaan. Acara itu melibatkan pelaburan sekitar €12 juta dan menjana hampir €50 juta impak ekonomi secara langsung serta tidak langsung setiap tahun, dengan hampir separuh daripada jumlah tersebut dikaitkan secara terus dengan perlumbaan MotoGP.
Setiap tahun, lebih 110,000 peminat menghadiri hujung minggu perlumbaan di Aragon, termasuk ribuan pengunjung dari seluruh Sepanyol dan luar negara. Kehadiran mereka memberi manfaat besar kepada sektor pelancongan, hotel, restoran dan perniagaan tempatan yang lazimnya beroperasi pada kapasiti penuh sepanjang acara berlangsung.
Presiden Wilayah Aragon, Jorge Azcon, turut menyambut baik pengumuman tersebut dan menegaskan komitmen wilayah itu untuk terus bersama MotoGP pada masa depan.
“Kami gembira mengesahkan bahawa Grand Prix Aragon akan kembali dianjurkan tahun hadapan. Bunyi deruman motosikal akan sekali lagi bergema di litar Alcañiz pada 2027.
“MotorLand juga akan terus mempunyai hubungan dengan MotoGP antara 2028 hingga 2031 sebagai venue simpanan,” katanya.
Sejak membuat penampilan sulung dalam kalendar MotoGP pada 2010, MotorLand Aragon telah menjadi antara venue kegemaran peminat dan pelumba kerana reka bentuk litarnya yang teknikal serta sering menghadirkan perlumbaan yang sengit dan menghiburkan.
Kembalinya MotoGP ke MotorLand Aragon pada 2027 sekali lagi memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan perlumbaan bertaraf dunia di salah satu litar paling mencabar dan spektakular dalam kalendar kejuaraan dunia itu.