Manuel Gonzalez terus membuktikan dirinya sebagai pencabar utama gelaran dunia Moto2 musim 2026 apabila meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas menguasai Grand Prix Hungary di Litar Balaton Park.
Pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP itu menampilkan satu lagi persembahan cemerlang untuk menewaskan Filip Salač (OnlyFans American Racing Team), manakala rakan sepasukannya, Senna Agius, melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kejayaan tersebut menjadikan Gonzalez pelumba pertama sejak Fermin Aldeguer pada 2023 yang berjaya memenangi tiga perlumbaan Moto2 secara berturut-turut.
Perlumbaan bermula dengan cemerlang buat Salač yang melakukan holeshot untuk merampas kedudukan pendahulu daripada Izan Guevara, manakala Gonzalez pantas memintas Guevara untuk mengambil alih tempat kedua seawal pusingan pertama.
Situasi Guevara terus merosot apabila Agius dan Daniel Holgado turut berjaya memintasnya, menyebabkan pelumba Sepanyol itu jatuh ke kedudukan kelima.
Drama awal perlumbaan berlaku pada pusingan keempat apabila Ivan Ortola dan Daniel Muñoz terlibat dalam kemalangan di Selekoh 3 ketika bersaing untuk kedudukan 10 terbaik.
Pada masa sama, Guevara dikenakan penalti Long Lap selepas didapati melakukan perubahan arah secara tidak selamat ketika permulaan perlumbaan.
Ketika perlumbaan memasuki pertengahan saingan, Salač masih mempertahankan kedudukan pendahulu sebelum Gonzalez akhirnya melakukan serangan di Selekoh 9 pada pusingan ke-12 untuk mengambil alih tempat pertama.
Selepas itu, pendahulu kejuaraan dunia tersebut mula meningkatkan rentak dengan mencatat masa terpantas perlumbaan, 1 minit 40.932 saat, sekali gus membuka jurang ke atas Salač.
Walaupun pelumba Czech itu cuba memberikan tentangan dan beberapa kali berjaya merapatkan jurang, Gonzalez kekal tenang serta konsisten untuk mengawal perlumbaan sehingga ke garisan penamat.
Dengan dua pusingan berbaki, Gonzalez berjaya melebarkan jurang kepada hampir satu saat sebelum menamatkan perlumbaan dengan kelebihan selesa untuk meraih kemenangan ketiganya secara berturut-turut musim ini.
Salač pula berjaya menamatkan penantian podium sejak musim 2024, sekali gus memberikan suntikan keyakinan menjelang perlumbaan di laman sendiri di Brno selepas ini.
“Saya ingin menyampaikan kepada semua yang sedang berdepan kesukaran supaya terus berusaha dan tidak mudah berputus asa. Kejayaan tidak datang dalam sekelip mata. Saya sendiri mengambil masa hampir dua tahun untuk mencapai detik ini. Jadi, terus percaya kepada diri sendiri dan impian anda kerana dengan kerja keras serta kesabaran, kejayaan pasti akan tiba,” katanya selepas perlumbaan.
Agius melengkapkan podium selepas berjaya menahan asakan hebat David Alonso pada penghujung perlumbaan, dengan hanya 0.4 saat memisahkan kedua-dua pelumba di garisan penamat.
Keputusan itu turut menyaksikan Gonzalez semakin selesa di puncak kejuaraan apabila kini mendahului Guevara dengan kelebihan 49.5 mata, manakala Celestino Vietti yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh kini ketinggalan 52.5 mata di belakangnya.
Keputusan 10 Terbaik Moto2 GP Hungary
- Manuel Gonzalez (Liqui Moly Dynavolt Intact GP)
- Filip Salač (OnlyFans American Racing Team)
- Senna Agius (Liqui Moly Dynavolt Intact GP)
- David Alonso (CFMOTO Inde Aspar Team)
- Daniel Holgado (CFMOTO Inde Aspar Team)
- Izan Guevara (BLU CRU Pramac Yamaha Moto2)
- Celestino Vietti (MB Conveyors SpeedRS Team)
- Alonso Lopez (ITALJET Gresini Moto2)
- Alberto Ferrandez (BLU CRU Pramac Yamaha Moto2)
- Tony Arbolino (REDS Fantic Racing)
Turut mencuri perhatian ialah dua pelumba rookie, Jose Antonio Rueda dan Taiyo Furusato, yang masing-masing mencatat keputusan terbaik mereka dalam Moto2 dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-11 dan ke-14.
Dengan prestasi luar biasa yang dipamerkan setakat ini, Gonzalez dilihat semakin hampir untuk mengukuhkan statusnya sebagai calon utama juara dunia Moto2 musim 2026.


