6 keputusan GP dibatalkan, Fernandez hilang kedudukan ketiga keseluruhan

Kedudukan Adrian Fernandez dalam carta kejuaraan Moto3 berubah secara drastik selepas pelumba Leopard Racing itu dikenakan hukuman pembatalan keputusan bagi enam perlumbaan awal musim 2026 susulan pelanggaran teknikal membabitkan enjin jenteranya.

Keputusan itu dibuat oleh FIM MotoGP Stewards selepas siasatan mendapati dua enjin yang digunakan Fernandez telah dibuka tanpa kebenaran rasmi, berdasarkan laporan Pengarah Teknikal serta pengeluar enjin.

Siasatan pertama bermula selepas Grand Prix Perancis apabila pengeluar enjin menjalankan pemeriksaan rutin terhadap enjin yang telah mencapai had penggunaan. Ketika proses itu, mereka mendapati meterai keselamatan pada salah satu enjin Fernandez tidak dipasang mengikut prosedur standard.

Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan enjin tersebut telah dibuka tanpa kebenaran, sekali gus melanggar peraturan ketahanan enjin Moto3. Mengikut peraturan FIM, enjin yang mempunyai meterai rosak, diubah suai atau hilang akan dianggap sebagai enjin baharu dalam kuota penggunaan pelumba.

Susulan pelanggaran itu, Fernandez dibatalkan penyertaan dan keputusan yang diperoleh pada Grand Prix Thailand, Brazil, Amerika Syarikat dan Sepanyol, iaitu perlumbaan yang menggunakan enjin berkenaan.

Bagaimanapun, isu itu tidak terhenti di situ. Selepas tamat perlumbaan di Mugello, beberapa enjin milik Leopard Racing sekali lagi diminta untuk pemeriksaan lanjut bagi memastikan ia mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Pemeriksaan tersebut menemukan bukti gangguan pada wayar meterai dan pelekat keselamatan pada sebuah lagi enjin. Enjin itu kemudiannya dibuka di bawah pengawasan Pengarah Teknikal dan pengeluar enjin, yang turut menemui beberapa perubahan serta pelarasan dalaman yang menunjukkan ia telah dibuka tanpa kebenaran.

Berikutan penemuan kedua itu, Fernandez turut dikenakan hukuman pembatalan keputusan bagi Grand Prix Perancis dan Grand Prix Catalunya.

Akibat penalti tersebut, Fernandez kehilangan semua mata yang diraih dalam enam perlumbaan awal musim dan hanya mengekalkan 13 mata yang diperoleh di Grand Prix Itali di Mugello.

Situasi itu menyaksikan pelumba Sepanyol berusia 21 tahun itu jatuh daripada kedudukan ketiga keseluruhan ke bahagian bawah kelompok 20 terbaik dalam carta kejuaraan Moto3 musim ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related