Tanggal 3 Jun sentiasa mengundang rasa pilu dalam kalangan peminat perlumbaan motosikal dunia. Pada tarikh ini sembilan tahun lalu, dunia sukan permotoran kehilangan seorang pelumba muda berbakat besar apabila Luis Salom meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika sesi latihan bebas Grand Prix Catalunya 2016 di Litar Catalunya, Sepanyol.
Pelumba kelahiran Palma de Mallorca itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 24 tahun selepas terbabit dalam insiden berkelajuan tinggi ketika sesi latihan Moto2. Kemalangan tersebut menjadi antara detik paling menyedihkan dalam sejarah moden Kejuaraan Motosikal Dunia dan mengingatkan semua pihak mengenai risiko besar yang perlu dihadapi setiap pelumba setiap kali turun ke litar.
Digelar “El Mexicano”dalam dunia perlumbaan, Salom mula menunjukkan bakat luar biasa sejak usia muda apabila menceburi perlumbaan kompetitif seawal lapan tahun. Beliau meraih pelbagai kejayaan dalam kejuaraan peringkat wilayah dan kebangsaan di Sepanyol sebelum mula mencipta nama di pentas antarabangsa menerusi Red Bull Rookies Cup.
Pada musim 2008, Salom muncul antara pelumba muda paling menyerlah apabila memenangi empat daripada lima perlumbaan awal Red Bull Rookies Cup dan menamatkan musim sebagai naib juara keseluruhan. Prestasi itu membuka laluan kepadanya untuk melangkah ke Kejuaraan Dunia Grand Prix.
Nama Luis Salom mula mendapat perhatian dunia pada musim 2012 apabila beliau meraih kemenangan Grand Prix pertamanya di Indianapolis dalam kelas Moto3 selepas menewaskan Sandro Cortese dan Maverick Viñales dalam pertarungan sengit sehingga pusingan terakhir. Pada tahun yang sama, beliau turut menambah satu lagi kemenangan di Aragon sebelum menamatkan musim sebagai naib juara dunia.
Musim 2013 pula menyaksikan Salom berada di kemuncak prestasinya. Menyertai pasukan Red Bull KTM Ajo, beliau mendominasi sebahagian besar musim dengan empat kemenangan dalam lapan perlumbaan pertama dan mendahului carta kejuaraan untuk tempoh yang panjang.
Walaupun mengalami kecederaan tumit akibat kemalangan ketika sesi kelayakan di Indianapolis, Salom tetap meneruskan perlumbaan dan berjaya memenangi perlumbaan di Brno serta Silverstone. Namun beberapa insiden malang pada penghujung musim menyaksikannya terlepas peluang menjulang gelaran dunia, sebelum menamatkan kempen di tempat ketiga keseluruhan meskipun mencatat kemenangan terbanyak musim tersebut.
Selepas beralih ke kelas Moto2 pada 2014, Salom terus menunjukkan perkembangan positif. Dalam tempoh dua setengah musim di kategori itu, beliau mengumpul tiga penamat podium termasuk tempat kedua pada perlumbaan pembukaan musim 2016 di Qatar.
Ketika tragedi berlaku di Catalunya pada Jun 2016, Salom berada di kedudukan ke-10 keseluruhan kejuaraan Moto2 dan dilihat sebagai antara pelumba yang berpotensi besar untuk terus berkembang dalam kariernya.
Di sebalik pencapaiannya di litar, Salom dikenali sebagai seorang yang peramah, merendah diri dan mempunyai minat mendalam terhadap dunia perlumbaan. Dalam satu temu bual ketika masih aktif berlumba, beliau pernah berkata:
“Apa yang paling saya suka dalam hidup ialah menunggang motosikal. Saya suka berlumba, menguji jentera dan berlatih. Saya sentiasa tidak sabar menunggu musim bermula.”
Sembilan tahun selepas pemergiannya, nama Luis Salom masih dikenang sebagai antara bakat paling istimewa yang pernah lahir dalam sukan motosikal Sepanyol. Walaupun kariernya terhenti terlalu awal, legasi yang ditinggalkan terus hidup dalam ingatan peminat dan komuniti perlumbaan di seluruh dunia.
Dalam kenangan, Luis Salom (1991–2016).


