Pengganti berpengalaman dipanggil gantikan Alex Marquez di Mugello

Selepas disahkan terpaksa berehat daripada dua pusingan Grand Prix seterusnya, tempat Alex Marquez di BK8 Gresini Racing MotoGP kini bakal diisi oleh pelumba ujian berpengalaman Ducati, Michele Pirro untuk aksi di Mugello hujung minggu ini.

Pelumba Itali berusia 39 tahun itu dijangka kembali ke grid MotoGP untuk penampilan keduanya musim ini, dan yang pertama di Mugello sejak 2023, apabila beliau akan turun bersama Fermin Aldeguer bagi mewakili pasukan Gresini di Grand Prix tanah air mereka.

Marquez sebelum ini mengalami kecederaan dalam insiden besar di Grand Prix Catalunya, yang menyaksikannya mengalami patah tulang selangka kanan serta retakan pada vertebra C7. Tulang selangka tersebut telah menjalani pembedahan stabilisasi, namun beliau masih memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

Susulan itu, pelumba #73 tersebut akan terlepas aksi di Mugello dan juga Balaton Park, dengan fokus kini diberikan sepenuhnya kepada proses pemulihan di rumah.

Pirro, yang sudah lama menjadi sebahagian daripada program ujian Ducati, sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengambil alih tugas perlumbaan, membawa pengalaman luasnya ke dalam aksi Grand Prix di salah satu pusingan paling penting buat pasukan Gresini musim ini.

Pirro merupakan pelumba Itali kelahiran 5 Julai 1986 yang telah lama menjadi tonggak penting kepada projek MotoGP Ducati sejak 2013 sebagai pelumba ujian rasmi. Sepanjang karier Grand Prix, beliau pernah berlumba dalam kelas 125cc dan Moto2 sebelum naik ke MotoGP, di mana beliau mencatat lebih 72 penampilan dalam kelas premier (Berdasarkan statistik yang dibekalkan MotoGP).

Pirro juga pernah meraih kemenangan tunggal dalam Moto2 di Grand Prix Valencia 2011, sebelum beralih sepenuhnya kepada peranan pembangunan bersama Ducati. Selain tugas ujian, Pirro sering dipanggil sebagai pelumba gantian atau wildcard Ducati dan pernah mencatat keputusan terbaik tempat ke-4 di MotoGP Valencia 2018, yang kekal sebagai pencapaian terbaiknya dalam kelas premier setakat ini.

Beliau juga dikenali sebagai antara pelumba paling berpengalaman dalam pembangunan jentera Desmosedici, sering membantu Ducati menilai komponen baharu dan peningkatan prestasi sepanjang musim. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related