Bridewell dan Bassani curi tumpuan di Most, Bayliss kembali podium

Pusingan WorldSBK di Autodrom Most, Republik Czech menyaksikan beberapa pelumba tampil mencuri perhatian apabila berjaya bangkit dengan prestasi mengagumkan dalam usaha menghidupkan semula momentum musim masing-masing.

Antara nama paling mencuri tumpuan ialah Tommy Bridewell (Superbikes Advocates) yang mencatat hujung minggu terbaik sepanjang kariernya dalam WorldSBK.

Juara BSB 2023 itu sebelum ini lebih banyak beraksi sebagai pelumba gantian dan ujian dalam WorldSBK, namun di Most beliau akhirnya berjaya menunjukkan peningkatan besar bersama pasukan baharu Superbike Advocates.

Selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-13, Bridewell tampil lebih cemerlang dalam perlumbaan berikutnya apabila menamatkan aksi di tempat kelapan yang juga merupakan keputusan terbaiknya dalam kategori WorldSBK setakat ini, mengatasi rekod lama di Imola pada 2019.

Beliau kemudian menutup hujung minggu dengan kedudukan ke-10 dan membawa pulang keseluruhan 11 mata dari perlumbaan tersebut.

Sementara itu, Axel Bassani (bimota by Kawasaki Racing Team) turut kembali menemui rentak selepas beberapa pusingan sukar sejak podium berganda pada aksi pembukaan musim di Phillip Island.

Bassani memulakan kebangkitan dengan keputusan tempat kelima dalam Perlumbaan 1 sebelum menambah satu lagi keputusan kukuh apabila menamatkan Perlumbaan 2 di tempat kelapan selepas bermula dari petak ke-11.

Konsistensi pecutan dan durasi (pace) yang dipamerkan pelumba Itali itu sepanjang perlumbaan menjadi petanda positif buat dirinya selepas beberapa pusingan mengecewakan sebelum ini.

Dalam kategori WorldSSP pula, Oli Bayliss (PTR Triumph Factory Racing) akhirnya kembali ke podium selepas tempoh sukar yang menyaksikannya terjatuh dan bergelut dengan kecederaan siku pada pusingan sebelum ini.

Bayliss membuka aksi di Most dengan keputusan tempat keenam sebelum mempamerkan tunggangan agresif dalam Perlumbaan 2 untuk menamatkan perlumbaan di podium selepas pertarungan sengit hingga ke lap terakhir.

Turut mencipta sejarah ialah Bruno Ieraci (CM Triumph Factory Racing) yang menghadiahkan podium pertama buat Triumph dalam kategori WorldSPB.

Pelumba Itali itu bermula dari petak pertama dalam Perlumbaan 2 hasil dari catatan lap terpantasnya sebelum bersaing di kelompok hadapan sepanjang perlumbaan. Walaupun terlepas kemenangan kepada Antonio Torres pada penghujung perlumbaan, Ieraci tetap mencipta pencapaian penting buat pasukannya dengan podium sulung tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related