Lucas dan Sacha Coenen bakal sertai 3 pusingan AMA Pro Motocross 2026

Duo kembar Red Bull KTM Factory Racing, Lucas dan Sacha Coenen, merancang untuk membuat penampilan khas dalam tiga pusingan AMA Pro Motocross 2026 sebagai sebahagian daripada siri SuperMotocross (SMX), sambil kekal fokus kepada kempen Kejuaraan Dunia MXGP dan MX2 mereka di Eropah.

Perancangan ini menyaksikan kedua-dua pelumba Belgium itu bakal mencuba pengalaman perlumbaan di Amerika Syarikat tanpa menjejaskan saingan utama masing-masing di kejohanan dunia.

Lucas Coenen ketika ini sedang mendahului carta MXGP dunia bersama jentera KTM 450 SX-F, selepas meraih dua kemenangan daripada lima pusingan awal musim. Sementara itu, Sacha Coenen berada di tempat kedua keseluruhan MX2 dengan KTM 250 SX-F, mencatat satu kemenangan, tiga podium serta rekod sempurna dalam sesi kelayakan Sabtu.

Tiga perlumbaan yang dirancang ialah Thunder Valley National di Colorado (13 Jun), Southwick National di Massachusetts (11 Julai) dan Ironman National Finals pada 29 Ogos. Ketiga-tiga aksi ini disusun di celah-celah kalendar MXGP Eropah dan tertakluk kepada perkembangan kedudukan kejuaraan masing-masing.

Lucas menyifatkan peluang itu sebagai satu impian yang menjadi kenyataan.

“Ini rasmi. Kami sudah merancang untuk sertai tiga pusingan AMA. Ia satu impian untuk mencuba perlumbaan ini sambil masih fokus kepada musim kami di MXGP. Saya sangat teruja dan mahu nikmati pengalaman ini sepenuhnya,” katanya.

Sacha pula meluahkan keterujaan untuk merasai sendiri suasana perlumbaan di Amerika Syarikat yang sejak kecil hanya ditonton dari jauh.

“Saya sangat teruja untuk berlumba di AS tahun ini. Sejak kecil kami selalu menonton perlumbaan di sana, jadi ini pengalaman yang luar biasa. Terima kasih kepada KTM dan semua pihak yang menjayakannya,” katanya.

Pengurus pasukan Red Bull KTM Factory Racing, Ian Harrison, menyambut baik penyertaan dua pelumba muda itu, menyifatkannya sebagai peluang penting untuk pendedahan antarabangsa.

“Pasukan akan menjadi lebih besar di Thunder Valley dengan kehadiran Sacha dan Lucas. Mereka berdua menunjukkan kelajuan luar biasa dan kami tidak sabar untuk melihat mereka bersaing di pentas AMA,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related