Honda Racing Corporation (HRC) mengumumkan Alberto Puig akan mengambil alih peranan baharu sebagai penasihat utama Honda HRC bermula musim 2027, selepas hampir sedekad berkhidmat sebagai pengurus pasukan factory MotoGP mereka.
Bekas pelumba kelahiran Barcelona berusia 59 tahun itu dilantik sebagai Team Manager Honda HRC pada 2018 dan berjaya membantu pasukan meraih kejayaan besar termasuk dua gelaran Triple Crown berturut-turut.
Menerusi peranan baharunya nanti, Puig akan terus memainkan peranan penting dalam membantu pengurusan Honda HRC merentasi semua aktiviti perlumbaan dua roda jenama Jepun itu.
Sebagai HRC Advisor, beliau akan terlibat dalam pembangunan program pelumba muda Honda selain membantu memperkukuhkan projek Honda dalam MotoGP dan WorldSBK dengan memberi sokongan kepada pihak pengurusan serta para pelumba.
Puig juga akan bertanggungjawab menilai gambaran keseluruhan operasi perlumbaan Honda HRC bagi memastikan hala tuju pasukan terus berkembang pada masa depan.
“Saya mula berada dalam paddock Kejuaraan Dunia pada 1987 dan sejak itu saya pernah menjadi pelumba, bekerja dengan pelumba muda, pengurus pelumba dan juga pengurus pasukan semuanya bersama Honda,” kata Puig.
“Sepanjang tempoh itu, saya melalui banyak pengalaman positif dan negatif yang memberi pengetahuan berharga tentang cara bekerja dengan pelumba, orang sekeliling dan pelbagai situasi.”
Menurutnya lagi, selepas sekian lama memimpin dari barisan hadapan, beliau kini merasakan pengalamannya lebih sesuai digunakan untuk melihat gambaran keseluruhan pasukan dan membantu Honda dari sudut lebih luas.
“Saya teruja menggunakan pengalaman ini dalam peluang baharu bersama Honda HRC untuk membantu pasukan, pelumba dan staf menghadapi segala cabaran serta kejayaan dalam dunia perlumbaan,” tambahnya.


