Pasukan Red Bull KTM Tech3 mengesahkan Maverick Viñales akan kembali beraksi dalam saingan MotoGP hujung minggu ini di Monster Energy Grand Prix of Catalunya selepas pulih daripada pembedahan bahu.
Pelumba Sepanyol itu terpaksa berehat sejak menarik diri daripada GP Amerika Syarikat akibat komplikasi kecederaan bahu yang dialaminya sebelum ini. Viñales menjalani pembedahan pembetulan pada penghujung Mac dan terlepas aksi di Jerez serta Le Mans bagi memberi tumpuan penuh kepada proses pemulihan.
Menurut pasukan, keputusan untuk menangguhkan kepulangan Viñales dibuat demi memastikan tahap kecergasan dan prestasinya benar-benar berada pada tahap terbaik sebelum kembali berlumba.
Selepas menjalani program rehabilitasi intensif dan melepasi pemeriksaan perubatan terakhir, Viñales kini disahkan bersedia untuk kembali menunggang jentera KTM RC16, lebih istimewa di hadapan penyokong sendiri di Catalunya.
“Saya gembira dapat kembali dan berlumba semula. Beberapa minggu kebelakangan ini bukan mudah, tetapi saya bekerja keras setiap hari untuk pulih sepenuhnya dengan sokongan rapat daripada Red Bull di APC,” kata Viñales.
“Saya rasa kuat dan sangat bermotivasi untuk kembali menunggang. Terima kasih kepada pasukan atas sokongan dan kesabaran mereka. Saya juga sangat teruja untuk kembali di grand prix tempat sendiri di Catalunya.
Pengurus pasukan, Nicolas Goyon pula menyifatkan kepulangan Viñales sebagai berita positif buat pasukan.
“Kami sangat gembira menyambut kepulangan Maverick minggu ini. Sejak awal lagi, keutamaan kami ialah memastikan dia kembali pada tahap 100 peratus,” katanya.
“Pengalaman dan kelajuannya amat penting untuk membantu pembangunan pasukan, dan Catalunya adalah tempat terbaik untuk dia memulakan semula musimnya.
Dalam masa sama, Goyon turut merakam penghargaan kepada Jonas Folger yang menggantikan tempat Viñales di Le Mans sebelum ini.
“Jonas melakukan tugas yang sangat baik dalam situasi mencabar dan sumbangannya amat bernilai buat pasukan,” tambahnya.


