Eli Tomac mencuri tumpuan apabila kembali ke podium dengan kedudukan ketiga dalam Pusingan 16 Kejuaraan AMA Supercross 2026 di Empower Field at Mile High, manakala rakan sepasukan Jorge Prado menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
Pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu kembali beraksi selepas terlepas pusingan di Philadelphia akibat kecederaan, dan terus menunjukkan prestasi kompetitif dengan mencatat masa kelayakan keenam terpantas.
Dalam perlumbaan utama, Tomac bermula dengan baik di kelompok hadapan, namun kesilapan kecil di bahagian pasir menyebabkan beliau terjatuh ke kedudukan ketujuh. Walau bagaimanapun, juara dua kali kelas perdana itu bangkit dengan aksi cemerlang untuk merampas tempat ketiga di penghujung perlumbaan.
“Saya gembira dapat kembali ke podium di hadapan penyokong di Colorado! Saya kecewa apabila enjin mati di bahagian pasir, tetapi berjaya bangkit semula. Ia satu ‘bounce back’ yang baik dan saya harap dapat teruskan momentum ini,” kata Tomac.
Keputusan ini turut menandakan podium kesembilan Tomac musim ini termasuk empat kemenangan dan meletakkannya di tangga keempat keseluruhan dengan hanya satu pusingan berbaki.
Sementara itu, Prado turut mempamerkan peningkatan apabila memenangi perlumbaan Heat dan meraih holeshot dalam Main Event. Pelumba Sepanyol itu bersaing dalam kelompok lima terbaik sepanjang perlumbaan sebelum menamatkan aksi di tempat keenam.
“Ia hujung minggu yang positif, terutama selepas beberapa perlumbaan sukar sebelum ini. Kemenangan Heat memberi keyakinan besar, dan dalam perlumbaan utama saya cuba bersaing dengan kelompok hadapan. Walaupun ada sedikit kesilapan, saya berpuas hati dengan P6,” jelas Prado.
Keputusan 450SX – Denver
- Hunter Lawrence
- Ken Roczen
- Eli Tomac
- Malcolm Stewart
- Jorge Prado
- Justin Hill
- Kevin Moranz
- Grant Harlan
Kedudukan Keseluruhan (Selepas 16/17 Pusingan)
- Ken Roczen – 332 mata
- Hunter Lawrence – 331 mata
- Cooper Webb – 297 mata
- Eli Tomac – 275 mata
- Malcolm Stewart – 189 mata
- Jorge Prado – 169 mata
Dengan hanya satu pusingan berbaki di Salt Lake City pada 9 Mei, perebutan kejuaraan semakin mendebarkan tambahan hanya satu mata memisahkan Roczen dan Lawrence di puncak carta.


