Pedro Acosta muncul antara pelumba paling menyerlah dalam sesi ujian rasmi MotoGP di Circuito de Jerez-Ángel Nieto apabila mencatat masa kelima terpantas bersama jentera Red Bull KTM Factory Racing.
Sesi ujian selama lapan jam itu berlangsung sehari selepas Grand Prix Sepanyol, dengan kedua-dua pasukan KTM termasuk Red Bull KTM Tech3 turut disertai pelumba ujian berpengalaman, Dani Pedrosa. Kesemua pelumba KTM, termasuk Enea Bastianini dan Brad Binder, mencatat lebih 250 pusingan secara keseluruhan bagi menguji pelbagai komponen baharu.
Fokus utama ujian tertumpu kepada pembangunan aerodinamik, penambahbaikan tetapan perlumbaan serta suspensi, memanfaatkan karakter litar Jerez yang menggabungkan selekoh laju, selekoh ketat dan zon membrek keras. Walaupun time attack bukan keutamaan, Acosta tetap mencatat masa hanya 0.3 saat di belakang pelumba terpantas, sekali gus meletakkannya di kedudukan kelima keseluruhan.
Bastianini menamatkan ujian di tempat ke-12, diikuti Binder di kedudukan ke-16, dengan hanya satu saat memisahkan 14 pelumba teratas menunjukkan persaingan yang semakin sengit.
Acosta menyifatkan ujian tersebut sebagai langkah ke hadapan buat KTM, khususnya dari segi cengkaman dan prestasi aerodinamik.
“Mungkin sedikit lewat, tetapi kami akhirnya capai apa yang kami mahukan. Saya gembira dengan komponen baharu yang dibawa oleh kilang, dan harapnya kami boleh gunakannya di Le Mans. Kami jumpa lebih cengkaman dan fairing baharu nampaknya berfungsi,” katanya.
Sementara itu, Bastianini turut melihat perkembangan positif walaupun perubahan yang diuji tidak terlalu besar.
“Kami melakukan kerja yang baik hari ini. Langkah yang diambil tidak besar tetapi ke arah yang betul. Prestasi saya lebih baik berbanding semalam. Dari segi aero, ada positif dan negatif, tetapi kira-kira 70% adalah positif,” jelasnya.
Binder pula memberi maklum balas positif terhadap perubahan kecil yang dilakukan, khususnya pada aspek kestabilan dan kemasukan selekoh.
“Kami cuba beberapa fairing berbeza dan ia membantu ketika membelok di selekoh laju. Suspensi belakang baharu juga menjadikan jentera lebih stabil dan memberikan cengkaman lebih baik ketika keluar selekoh,” katanya.
Pengurus pasukan, Aki Ajo, mengakui ujian tersebut sarat dengan kerja teknikal, namun hasil awal menunjukkan pakej aerodinamik baharu memenuhi jangkaan.
“Kami membawa pakej aero baharu dan ia mencapai sasaran kami. Masih perlu analisis lanjut, tetapi besar kemungkinan kami akan menggunakannya dalam masa terdekat,” katanya.
Pengarah Teknikal KTM, Sebastian Risse, menambah bahawa pasukan kini mempunyai gambaran lebih jelas tentang aspek yang perlu dipertingkatkan selepas empat pusingan pertama musim ini.
“Kami belajar banyak daripada ujian ini. Walaupun Grand Prix Sepanyol agak mencabar, hari ini kami dapat lihat potensi sebenar jentera. Kami hanya kekurangan masa di litar sebelum ini,” jelasnya.
Dengan satu lagi sesi ujian dijadualkan di Barcelona, KTM dilihat berada di landasan tepat untuk memperkukuh prestasi mereka menjelang Grand Prix Perancis di Le Mans pada 8 hingga 10 Mei.


