Pelumba Perancis, Lucie Boudesseul bangkit cemerlang pada perlumbaan kedua di TT Circuit Assen apabila meraih tempat ketiga dalam saingan FIM Women’s Circuit Racing World Championship.
Keputusan itu hadir selepas kekecewaan pada Perlumbaan 1 apabila beliau terjatuh di pusingan terakhir ketika berada dalam kelompok 10 terbaik. Podium tersebut juga merupakan yang pertama buatnya musim ini, sekali gus menamatkan rentetan dua keputusan tidak menghabiskan perlumbaan (DNF).
Memulakan Perlumbaan 2 dari barisan ketiga, Boudesseul menunjukkan peningkatan pantas apabila berjaya naik ke kedudukan kelima seawal pusingan pertama sebelum menguasai perebutan tempat ketiga.
Dalam keadaan litar yang semakin mencabar akibat hujan, beliau menggunakan kelebihan itu untuk membuka jurang selesa dan menamatkan perlumbaan tanpa dicabar di tempat ketiga. Beatriz Neila muncul juara perlumbaan, diikuti Roberta Ponziani di tempat keempat.
Boudesseul mengakui perlumbaan tersebut berlangsung dalam keadaan sukar, namun beliau telah merancang untuk mendahului kumpulan dan mencipta jurang selepas insiden pada hari sebelumnya. Podium itu memberinya mata penting dalam kejuaraan, selain meningkatkan keyakinan untuk terus memburu keputusan lebih baik.
Selepas dua podium musim lalu ketika musim rookie, prestasi di Assen menunjukkan beliau berpotensi untuk terus bersaing dalam kelompok hadapan musim 2026, meskipun kini berada di kedudukan ketujuh keseluruhan, 23 mata di belakang Ponziani di tempat ketiga.
“Perlumbaan itu sangat mencabar tambahan pula dengan cuaca hujan. Selepas kemalangan pada hari Sabtu, saya sudah membuat perancangan untuk memulakan perlumbaan dengan mencipta jurang yang jauh dan mendahului perlumbaan.
“Dan saya berjaya melakukan perkara tersebut. Saya gembira dapat kembali ke podium untuk kali pertama musim ini. Saya rasa lebih baik sekarang! Selepas kemalangan di Portimao dan juga dalam Perlumbaan 1, banyak mata penting yang hilang. Podium ini memberi saya mata yang baik, dan saya sangat gembira. Saya percaya bahawa saya mampu untuk meraih satu lagi podium,” ungkapnya.


