Alex Rins mengesahkan musim 2026 akan menjadi tahun terakhirnya bersama Yamaha Factory Racing dalam saingan MotoGP selepas keputusan itu dimaklumkan oleh pihak pasukan.
Pelumba Sepanyol itu mendedahkan beliau mengetahui perkara tersebut menerusi perbualan dengan pengurus pasukan, Massimo Meregalli. Dalam panggilan tersebut, Meregalli memaklumkan bahawa Yamaha telah pun menandatangani pelumba kedua untuk musim akan datang, sekali gus memberi bayangan jelas mengenai masa depan Rins dalam pasukan.
Rins tidak menafikan berita itu memberi kesan kepadanya, namun tetap profesional dalam menerima keputusan tersebut. Beliau mengakui masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera Yamaha, terutamanya enjin inline empat sebelum ini, walaupun projek baharu enjin V4 memberi sedikit keyakinan.
Walaupun begitu, Rins menegaskan komitmennya untuk terus memberikan 100 peratus sepanjang baki musim ini. Bekas pemenang perlumbaan bersama Suzuki dan Honda itu percaya dirinya masih mempunyai potensi besar dalam MotoGP dan bertekad untuk menamatkan musim dengan prestasi terbaik.
“Saya tidak berada dalam keadaan yang begitu baik ketika ini kerana berita ini. Tetapi ketika saya bersama LCR, saya berasa sangat selesa dan apabila Yamaha datang dengan tawaran, saya menerimanya kerana saya percaya kami boleh mencapai sesuatu yang hebat bersama. Sejak saya menunggang jentera enjin inline four, saya sedikit bergelut, itu realitinya.
“Namun apabila mereka mula menerangkan tentang projek baharu enjin V4, saya kembali rasa positif kerana ada peluang baharu.
“Sebaik sahaja saya mencuba jentera itu, ia masih mempunyai beberapa kekangan seperti yang semua boleh lihat tetapi saya rasa sedikit lebih baik berbanding enjin inline four. Mereka sudah membuat keputusan, jadi saya perlu menghormatinya.
“Saya akan terus memberikan 100 peratus, saya masih Alex yang sama yang pernah menang bersama Suzuki dan Honda, dan masih ada 18 perlumbaan lagi. Jadi, kami akan terus berjuang habis-habisan,” ungkapnya kepada media semalam.
Dalam masa sama, masa depannya selepas 2026 masih belum diputuskan, namun Rins menyatakan keinginannya untuk kekal bersaing dalam MotoGP. Spekulasi mengenai barisan pelumba Yamaha bagi musim 2027 juga semakin hangat, dengan nama seperti Jorge Martín dan Ai Ogura digembar-gemburkan sebagai calon utama, namun tiada pengumuman rasmi setakat ini.
Sepanjang bersama Alex Rins di kem Yamaha sejak 2024, pelumba Sepanyol itu memainkan peranan penting sebagai pelumba berpengalaman dalam membantu pembangunan jentera Monster Energy Yamaha MotoGP Team.
Walaupun berdepan musim pertama yang sukar akibat beberapa kecederaan, termasuk patah pergelangan tangan, Rins tetap berjaya meraih dua keputusan dalam kelompok 10 terbaik dengan pencapaian terbaik di tempat kelapan, sambil mengumpul 31 mata keseluruhan musim.
Selain keputusan di trek, sumbangan terbesar Rins bersama Yamaha terletak pada aspek teknikal dan pembangunan jentera. Dengan pengalaman luas termasuk enam kemenangan MotoGP dan lebih 50 podium sepanjang kariernya, beliau menjadi aset penting dalam projek jangka panjang Yamaha, khususnya dalam peralihan ke enjin V4 baharu.
Keupayaannya memberikan maklum balas terperinci membantu pasukan memperbaiki prestasi jentera yang sebelum ini bergelut untuk kekal kompetitif di grid.
Baca juga:


