Pelumba Britain, Sam Lowes kembali menaiki podium dalam saingan Superbike World Championship apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ketiga pada Pusingan Belanda di TT Circuit Assen.
Pelumba pasukan ELF Marc VDS Racing Team itu bermula dari barisan hadapan selepas aksi cemerlang dalam sesi Superpole, namun kehilangan sedikit posisi pada awal perlumbaan apabila duo Aruba.it Racing – Ducati, Nicolo Bulega dan Iker Lecuona mula mendahului saingan.
Namun, hujan pertengahan perlumbaan mengubah senario sepenuhnya apabila Lowes berjaya merapatkan jurang dengan dua pelumba di hadapan dan hampir mencabar kemenangan. Walaupun gagal memintas, beliau menamatkan perlumbaan di tempat ketiga yang juga merupakan podium pertamanya musim ini.
Keputusan itu turut menandakan kebangkitan positif buat Lowes yang kini kembali cergas sepenuhnya selepas kecederaan pergelangan tangan.
“Saya rasa kalau dapat dua lagi podium memang bagus. Saya perlu tingkatkan lagi prestasi untuk berada setaraf dengan mereka, sebab saya agak ketinggalan sedikit di penghujung musim lepas, jadi tahap kecergasan perlumbaan saya belum berada di tahap terbaik. Hujan mungkin sedikit membantu saya, tapi saya tak berdepan masalah besar meskipun lengan saya dalam keadaan tidak baik, jadi itu satu perkembangan yang sangat positif.
“Saya boleh tidur dengan lebih tenang malam ini kerana sebelum perlumbaan tadi saya agak gementar tentang perkara itu. Saya semakin hampir. Dalam perlumbaan akan datang, saya yakin boleh lebih dekat dengan mereka dan sudah tentu Ducati sedang melakukan kerja yang sangat baik. Buat masa ini, sebagai pasukan bebas, dapat berada hampir dengan mereka pun sudah memadai untuk kami berpuas hati”, katanya.
Lowes turut mengakui berdepan sedikit masalah dengan tayar hadapan di penghujung perlumbaan, namun optimis mampu tampil lebih baik dalam aksi seterusnya.
Dengan momentum kembali memihak kepadanya, pelumba berusia 33 tahun itu kini menyasarkan untuk terus bersaing dalam kelompok podium bagi baki perlumbaan di Assen, termasuk Perlumbaan 2.
Baca juga:


