Pengeluar motosikal Austria, KTM memperkenalkan model terbaharu KTM 1390 SUPER DUKE RR bagi tahun 2026 yang digelar sebagai BEAST RR, jentera paling ekstrem dalam rangkaian motosikal jalan rayanya.
Dibangunkan di Austria, model ini merupakan evolusi paling agresif dalam konsep Hypernaked KTM, direka khusus untuk penunggang yang mahukan prestasi maksimum sama ada di jalan raya mahupun litar.
Berbanding model asas KTM 1390 SUPER DUKE R, versi RR ini lebih ringan sebanyak 11 kilogram, sekali gus meningkatkan tahap kelincahan dan respons jentera. Casis yang lebih tegar turut memberikan kestabilan lebih baik ketika ditunggang pada had maksimum.
Dari segi kejuruteraan, penggunaan komponen gentian karbon membantu mengurangkan berat keseluruhan, selain menampilkan rekaan berinspirasikan jentera perlumbaan. Sistem suspensi pula menggunakan WP PRO COMPONENTS berasaskan teknologi MotoGP, digandingkan dengan rim tempa ringan dan tayar Michelin Power GP Hypersport untuk prestasi optimum.

Jentera ini dikuasakan enjin LC8 V-twin 1350cc yang menghasilkan 190 PS dan 145 Nm tork, lengkap dengan teknologi CAMSHIFT untuk pembakaran bahan api lebih efisien. Bunyi garang pula disempurnakan dengan sistem ekzos titanium Akrapovič.
Kuasa tersebut dipadankan dengan sistem brek Brembo HyPure Sport di bahagian hadapan, selain bantuan elektronik canggih yang merangkumi pakej TECH PACK penuh sebagai standard.
Antara ciri baharu termasuk paparan TFT skrin sentuh 8.8 inci dengan fungsi laptimer dan telemetri dalam mod TRACK, serta mod khas ‘BEAST MODE’. Jentera ini turut dilengkapi pelbagai bantuan tunggangan, mod pemanduan dan sistem ABS terkini.
Dari sudut rekaan, penambahan winglet pada bahagian tangki membantu meningkatkan daya tekan ke bawah (downforce), sekali gus mengurangkan kecenderungan roda hadapan terangkat, manakala lampu hadapan dan skema warna baharu menyerlahkan identiti uniknya.
KTM menegaskan model ini bukan sekadar edisi khas, tetapi sebuah jentera tanpa kompromi yang dibina untuk mencabar motosikal superbike di litar.
KTM 1390 SUPER DUKE RR dijangka mula berada di pasaran sekitar April atau Mei 2026, dengan pengeluaran terhad kepada hanya 350 unit di seluruh dunia.


